Xi: Komunikasi China-AS di Segenap Peringkat Perlu Diteruskan

2022-07-29 13:31:39  CRI
Share with:

Komunikasi antara Beijing dengan Washington di segenap peringkat perlu diteruskan, manakala saluran komunikasi sedia ada harus dioptimumkan bagi menggalakkan kerjasama dua hala.

Demikian ujar Presiden China, Xi Jinping semasa perbualan bersama rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menerusi panggilan telefon malam Khamis.

Xi berkata, tindakan mentakrifkan hubungan China-AS dari perspektif persaingan strategik dan melihat China sebagai lawan utama serta cabaran serius jangka panjang adalah tanggapan salah terhadap hubungan dua negara serta pembangunan China, sekali gus mengelirukan rakyat kedua-dua negara dan masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata, tatkala keadaan ekonomi dunia tidak menentu ketika ini, kedua-dua buah negara diharapkan supaya menerajui dalam menegakkan keamanan dan keselamatan global, serta menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran dunia.

“Perlunya komunikasi dikekalkan antara kita (China dan AS) berhubung beberapa isu utama, antaranya termasuk koordinasi dasar makroekonomi, usaha sama dalam memastikan rantai perindustrian dan rantai bekalan global kekal stabil, serta melindungi keselamatan tenaga dan barang makanan,” tegas Xi.

Beliau turut menyatakan kedua-dua pihak harus bersinergi ke arah meredakan ketegangan rantau, membantu dunia menyingkirkan COVID-19 seawal mungkin dan mengurangkan risiko stagflasi serta keluar daripada kemelesetan.

Ketika menyentuh berhubung isu Taiwan, Xi mengulangi pendirian Beijing yang sentiasa tegas dan konsisten mempertahankan kedaulatan negara serta keutuhan wilayah.

“Kami dengan tegas menolak cubaan pemisah ‘kemerdekaan Taiwan’ dan campur tangan asing, dan tiada ruang untuk berlakunya sebarang pemisahan dalam apa jua bentuk.

“AS sepatutnya menepati janji, iaitu menghormati prinsip satu China dan melaksanakan tiga pengumuman bersama China-AS,” tambah Xi.

Biden dalam ucapannya pula membalas dengan mengatakan bahawa dunia kini berada pada saat kritikal, dan kerjasama AS-China bukan sahaja bermanfaat kepada rakyat kedua-dua negara, malah juga untuk rakyat semua negara.

“Saya berharap komunikasi berkenaan dapat diteruskan untuk meningkatkan kesefahaman dan mengelak daripada berlakunya salah faham, sekali gus meneroka peluang kerjasama yang mempunyai kepentingan bersama,” katanya.

Biden mengulangi bahawa pendirian AS mengenai dasar satu China tidak akan berubah dan pihaknya turut tidak menyokong ‘kemerdekaan Taiwan’.