Perusahaan RCEP Aktif Sertai CICPE di Hainan

2022-07-29 13:56:57  cri
Share with:

Perusahaan dari negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) aktif mengambil bahagian dalam Ekspo Produk Pengguna Antarabangsa China (CICPE) kedua yang berlangsung di Haikou, provinsi Hainan.

Pada edisi kali ini, kesemua perusahaan tersebut memberi tumpuan lebih tinggi untuk meneroka peluang perniagaan baharu susulan pelaksanaan RCEP yang bermula tahun ini.

Difahamkan, perusahaan negara RCEP termasuk Jepun, Korea Selatan dan Malaysia telah mendirikan reruai pameran yang melebihi 5,000 meter persegi, iaitu 20 peratus lebih luas berbanding tahun lepas.

Demi memanfaatkan tarif keutamaan dengan lebih baik, perusahaan berkenaan juga aktif meneliti peraturan tempat asal RCEP bagi produk yang diperdagangkan, di samping merancang pengubahsuaian rantaian perindustrian dan bekalan di kawasan serantau.  

Penganjuran CICPE bukan sahaja menjana sektor penggunaan, tetapi juga mendorong keterbukaan pelabuhan perdagangan bebas di Hainan ke tahap yang lebih tinggi.

Malahan, sesetengah perusahaan Thailand turut memandang Hainan sebagai ‘fulkrum’ penting untuk meneroka pasaran China.


Konsul Perdagangan Thailand ke Guangzhou, Oranuch Wannapinyo berkata, selain mempromosi jenama sendiri yang berkualiti di arena antarabangsa, syarikat Thailand di CICPE juga berpeluang memperkasa kerjasama dengan negara anggota RCEP.

Beliau juga berkeyakinan terhadap prospek kerjasama yang didukung bersama RCEP dan penubuhan pelabuhan perdagangan bebas di Hainan.