China dan Poland Sedia Tingkatkan Kerjasama Pragmatik

2022-07-30 15:02:45  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping mengadakan perbualan dengan rakan sejawatnya dari Poland, Andrzej Sebastian Duda melalui telefon pada petang Jumaat.

Xi mengatakan, China menghargai hubungan persahabatan tradisional dengan Poland dan menganggap Poland sebagai rakan kerjasama utama di Eropah. China bersedia mengekalkan komunikasi dan meningkatkan kepercayaan politik serta terus memperkasakan taraf hubungan perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua negara.

Beliau menyatakan, China dan Poland perlu mengukuhkan komunikasi dasar, bersama-sama memperkasakan pembinaan inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang berkualiti tinggi, meningkatkan kerjasama pragmatik dalam bidang ekonomi, perdagangan dan kesalinghubungan, mencipta titik pertumbuhan baharu dalam bidang pembangunan hijau dan ekonomi digital. Beliau berharap Poland menyokong dan memelihara perkembangan hubungan China dengan Eropah.

Duda pula berkata, beliau berbesar hati menghadiri upacara perasmian Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing dan bertemu dengan Presiden Xi pada Februari lalu. Walaupun mengalami impak pandemik COVID-19, tetapi konsensus penting yang telah dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara sedang dilaksanakan. Badan-badan berkenaan kedua-dua negara mengekalkan komunikasi yang erat dan terus mendorong kerjasama dalam bidang-bidang berkenaan.

Beliau menyatakan, Poland bersedia mendorong kerjasama antara negara-negara Eropah Tengah dan Eropah Timur dengan China serta perkembangan hubungan Eropah-China.