China Sumbang Universiti Kabul Bangunan Pendidikan, Auditorium Baharu

2022-08-01 12:32:56  CRI
Share with:

 Selepas melalui proses pembinaan selama lima tahun, bangunan pendidikan bercirikan moden sumbangan kerajaan China di Universiti Kabul Afghanistan akhirnya siap dibina.

 

Dalam majlis perasmiannya pada Ahad, Duta Besar China ke Afghanistan, Wang Yu berkata ia merupakan lambang kepada kerjasama persahabatan China-Afghanistan dalam bidang pendidikan.

 

Difahamkan, sejak sekian lama China komited mengekalkan kerjasama yang intensif dengan Afghanistan dalam bidang pendidikan.

 

Untuk rekod, kini terdapat hampir seribu orang pelajar dari negara itu sedang menuntut pengajian di China, manakala hampir 200 orang pelajar pula sedang meneruskan pengajian di Akademi Konfusius, Universiti Kabul.

 

“Kita berharap agar mereka (para pelajar) akan memberi sumbangan terhadap kerjasama persahabatan kedua-dua negara selepas berjaya lulus dari kolej.

 

“Selain itu, China akan terus memberi sokongan dan bantuan kepada Afghanistan termasuk memperluas kerjasama pelbagai sektor termasuk sektor pendidikan pada masa hadapan,” ujar Wang.

 

Upacara tersebut diharumkan kehadiran Duta Besar China ke negara itu, Wang Yu, pemangku Menteri Pendidikan Tinggi kerajaan sementara Afghanistan, Abdul Baqi Haqqani dan Presiden Universiti Kabul, Osama Aziz.

 

Pemangku Menteri Pendidikan Tinggi Kerajaan Sementara Afghanistan, Abdul Baqi Haqqani yang turut hadir pada majlis tersebut pula menzahirkan ucapan terima kasih kepada China atas bantuan membina bangunan pendidikan komprehensif tersebut.

 

Menurut beliau, Afghanistan baru bebas daripada belenggu peperangan dan menghadapi banyak masalah dalam pembangunan ekonomi serta pembinaan semula sosial.

 

“Pendidkan peringkat tinggi antara bidang diutamakan pihak kerajaan sementara negara Afghanistan kerana kemajuan negara bergantung pada pembangunan pendidikan.

 

“Kita berharap agar kedua-dua negara akan terus menjalankan lebih banyak kerjasama dalam bidang pendidikan,” kata Abdul Baqi.

 

Sementara itu, Presiden Universiti Kabul, Osama Aziz menyatakan bahawa auditorium yang dibina menerusi pendanaan dari China dan juga tempat majlis perasmian itu diadakan merupakan dewan terbaik setakat ini di Afghanistan.

 

Beliau berkata, bangunan pendidikan dan auditorium baharu itu akan digunakan untuk para sarjana dari pelbagai jurusan dan institusi supaya memberi sumbangan bagi pembinaan negara dan kerjasama Afghanistan-China.