Guterres Berang Insiden Tembakan Babitkan Anggota MONUSCO

2022-08-01 14:45:27  CRI
Share with:

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres meluahkan kemarahan susulan insiden tembakan membabitkan anggota pengaman PBB di sempadan Republik Demokratik Congo (DRC)-Uganda pada Ahad.

Guterres dalam satu kenyataan menerusi jurucakapnya menuntut supaya individu terbabit dipertanggungjawabkan.

Kenyataan itu menyebut, utusan khas Guterres di Congo telah memutuskan menahan anggota Misi PBB di DRC (MONUSCO) yang terlibat dalam insiden tersebut dan segera menjalankan siasatan terhadap mereka.

Menurut pengumuman kerajaan DRC, beberapa anggota MONUSCO melepaskan tembakan di pos Kasindi di wilayah Kivu Utara, DRC yang bersempadan dengan Uganda apabila dihalang daripada melalui pos tersebut, hingga mengakibatkan dua maut dan 15 lagi cedera. 

Kerajaan DRC dan MONUSCO telah melancarkan siasatan bersama untuk menentukan tanggungjawab berkenaan, sambil mengenakan sekatan berat ke atas individu yang ditahan.