Momentum Hubungan China-Tajikistan Kekal Tinggi

2022-08-02 12:04:34  CRI
Share with:

China menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Tajikistan ke arah membina komuniti berkongsi nasib sesama negara, sekali gus memberikan momentum positif kepada pembangunan hubungan dua hala pada masa hadapan.

Ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar Wang Yi berkata demikian ketika berlangsungnya pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Tajikistan, Sirojiddin Muhriddin di Dushanbe, Isnin.

Wang berkata, kedua-dua negara harus memantapkan pelaksanaan rancangan kerjasama ekonomi dan perdagangan jangka panjang dan sederhana, di samping memperdalam integrasi dua hala bagi menyelaraskan strategi pembangunan. 

Menurut beliau, kolaborasi membabitkan kapasiti pengeluaran dan kemudahan infrastruktur akan diperdalam, manakala penerokaan bidang baharu seperti ekonomi digital, tenaga baharu dan teknologi canggih akan diperluas.

China akan terus menggerakkan pelaksanaan projek bantuan, menjayakan Bengkel Luban yang pertama di Asia Tengah, dan mengimport lebih banyak produk pertanian organik berkualiti tinggi keluaran Tajikistan.

Selain itu, Beijing akan terus menyediakan vaksin kepada Dushanbe dan membina pusat perubatan tradisional China-Tajikistan.

Wang turut mencadangkan dua negara itu meningkatkan kerjasama keselamatan dan mengukuhkan keupayaan menghadapi risiko.