Xi, Pemimpin Arif Bijaksana dan Bervisi Jauh: MCA
Presiden China Xi Jinping ialah seorang pemimpin yang arif bijaksana dan bervisi jauh, dengan keupayaan tadbir urus negara serta rasa tanggungjawab yang tinggi. Beliau jujur dan tekun hingga menjadi suri teladan yang dicontohi semua anggota Parti Komunis China (PKC).
Demikian dinyatakan Naib Presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA), Datuk Tan Teik Cheng dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.
Katanya, gagasan komuniti berkongsi nasib sesama insan yang diajukan Presiden Xi berbeza sama sekali dengan konsep pembangunan global yang dicadangkan negara Barat terdahulu. Ia merupakan jawapan kepada permasalahan dihadapi dunia dewasa ini.
Teik Cheng menyatakan beliau kagum dengan pemikiran Presiden Xi bahawa semua negara adalah sama rata, tidak mengira besar atau kecil, kuat atau lemah, serta kaya atau miskin.
Beliau berkata pengamal hegemoni masih memasang harapan untuk menunjuk-nunjuk kuasanya di seluruh dunia, sedangkan kini tiada lagi ruang untuk hegemoni dan kolonialisme.
"Presiden Xi seorang pemimpin bertaraf dunia yang berani bercakap benar. Ini bukan sekadar memaparkan keikhlasan China, malah memberi inspirasi dan ilham baharu kepada tadbir urus dunia,”ujarnya.
Beliau beranggapan, model pembangunan diperkenalkan China adalah berlandaskan kerjasama menang-menang, menghormati kedaulatan, dan tidak campur tangan urusan dalaman satu sama lain.
Ia secara tidak langsung menyuntik keyakinan kepada pelbagai negara untuk membawa manfaat buat dunia menerusi pembangunan diri, di samping menjadikan konsep basi 'ketuanan kulit putih' kehilangan sokongan.
Menurut Teik Cheng, hubungan antara MCA dan PKC terus berkembang sejak kedua-dua parti memeterai memorandum kerjasama dan pertukaran pada Julai 2014, sekali gus meletakkan asas politik kukuh untuk pembangunan hubungan Malaysia-China.
Tambah beliau, MCA mengagumi pencapaian diperoleh PKC dalam tadbir urus negara, khususnya kejayaan China dalam usaha membasmi kemiskinan yang turut dipuji sebagai 'kepantasan China' dan 'keajaiban dunia'.