AS Pemusnah Keamanan Selat Taiwan: Duta China
Amerika Syarikat (AS) menjadi pengacau terbesar yang mengeruhkan keamanan Selat Taiwan dan kestabilan serantau, kata Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Lawatan mengejut Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi ke Taiwan dilakukan tanpa menghiraukan bantahan keras Beijing.
Pihak AS memekakkan telinga terhadap perkara itu, sebalik menuduh China mencetuskan krisis. Ia mencerminkan kelakuan negara itu yang biadab dan angkuh di rantau ini.
Menurut Ouyang, AS hanya memfokuskan kepada kepentingan sendiri, tanpa mengambil kira pertimbangan orang lain. Malahan, negara itu tidak pernah benar-benar menghormati aspirasi negara rantau untuk mewujudkan ketenteraman, kestabilan dan pembangunan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas pendirian konsisten Malaysia yang menegakkan prinsip satu China dan tidak menyokong cubaan ‘kemerdekaan Taiwan’.
Duta itu berkata, Beijing menghargai persahabatan dijalin antara kedua-dua negara dan mementingkan pembangunan hubungan dua hala.
China bersedia bersinergi dengan Malaysia ke arah memantapkan lagi hubungan sedia ada berdasarkan prinsip satu China dan menyumbang kepada kedamaian dan kestabilan serantau.