China, Kemboja Ikrar Perkukuh Persahabatan dan Kerjasama
Kemboja berpegang teguh pada prinsip satu China dan melihat Taiwan sebagai sebahagian wilayah yang tidak boleh dipisahkan dari China.
Demikian ditegaskan Timbalan Perdana Menteri Kemboja yang juga Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa, Prak Sokhonn ketika mengadakan pertemuan dengan ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar, Wang Yi di Phnom Penh pada Rabu.
Sokhonn berkata pihaknya teguh menyokong pendirian China berhubung urusan dalaman seperti isu Taiwan, Xinjiang dan Tibet, menyokong usaha China untuk mempertahankan kepentingan sendiri serta mengambil tindakan balas yang tegas terhadap provokasi Amerika Syarikat (AS).
Beliau menyatakan komunikasi erat antara pemimpin China dan Kemboja menyuntik dorongan kuat kepada hubungan dua hala.
Kemboja bersedia memperkukuh ikatan persahabatan yang sedia terjalin dengan China, sekali gus memantapkan lagi perkongsian kerjasama strategik komprehensif antara kedua-dua negara.
Sementara itu, Wang Yi menyuarakan kesediaan China untuk bersama negara ASEAN mempertahankan prinsip hubungan antarabangsa yang tidak mencampuri urusan dalaman satu sama lain, menegakkan keadilan antarabangsa, serta memelihara keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau.
Wang berkata, adalah signifikan untuk China dan Kemboja memperkukuh perpaduan dan kerjasama tatkala situasi antarabangsa tidak menentu ketika ini.
China bersedia bersinergi dengan Kemboja terus memecut pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama negara ke arah menyingkap lembaran baharu ikatan persahabatan kedua-dua negara.