Kemboja Sokong China Dalam Kekalkan Kepentingan Teras Sendiri
Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen mengulangi sokongan padu negaranya terhadap China dalam mengekalkan kepentingan teras sendiri.
Menurut beliau, Kemboja berpegang teguh kepada prinsip Satu China dan melihat Taiwan sebagai bahagian yang tidak boleh dipisahkan dari wilayah China.
Demikian ujar Hun Sen ketika bertemu dengan Menteri Luar China, Wang Yi yang sedang dalam lawatan ke Kemboja, pada Rabu.
“Kemboja dengan tegas menentang sebarang perkataan atau perbuatan yang mencabul kedaulatan dan keutuhan wilayah China, dan akan terus menyokong China dalam memelihara kepentingan terasnya dan berdiri bersama-sama dengan 1.4 bilion rakyat China,” katanya.
Jelas Hun Sen, pihaknya berharap untuk mempergiat usaha membina komuniti berkongsi nasib Kemboja-China, menyelaraskan dengan lebih lanjut pelaksanaan strategi pembangunan kedua-dua negara, memperkasa kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan perdagangan, infrastruktur, perlombongan, tenaga, pertanian serta pertahanan.
Wang Yi dalam ucapannya pula berkata bahawa China menghargai pendirian teguh Kemboja terhadap prinsip Satu China dan sokongan kepada China dalam menjaga kepentingan teras sendiri.
“China juga merupakan rakan Kemboja yang boleh dipercayai dan berdiri teguh di belakang Kemboja dalam proses pembangunan dan pemulihan negara.
“China bersedia bekerjasama dengan Kemboja untuk memelihara kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan masing-masing, untuk menjunjung norma asas hubungan antarabangsa yang tidak mencampuri urusan dalaman negara lain, serta menegakkan kesaksamaan dan keadilan antarabangsa,” kata beliau.
Tambah Wang, China komited terus menyediakan bantuan vaksin yang mencukupi untuk memenuhi keperluan Kemboja, mengimport lebih banyak produk pertanian berkualiti tinggi dari Kemboja, dan menambah kekerapan penerbangan dari Kemboja ke China yang kondusif bagi pelajar Kemboja kembali ke China untuk melanjutkan pengajian mereka.
Ketika menyentuh mengenai pendirian China mengenai isu Taiwan, beliau berkata tindakan provokatif Amerika Syarikat (AS) dalam isu Taiwan bukanlah suatu kebetulan.
Kata Wang, ia sebaliknya merupakan sandiwara politik yang dirancang dengan teliti, secara tidak langsung mendedahkan wajah hipokrit sebenar AS dengan membelakangi janjinya.
“Percubaan AS untuk ‘mengekang China dengan isu Taiwan" pasti akan menemui kegagalan dan tidak akan mengubah trend sejarah yang Taiwan pasti akan kembali ke tanah air.
“Sebaliknya, ia akan memberi inspirasi kepada 1.4 bilion rakyat China untuk bersatupadu dan mempercepatkan pembinaan sebuah negara sosialis moden yang bercirikan China,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, kedua-dua pihak komited untuk memperkukuh komunikasi dan penyelarasan dalam hal ehwal serantau, berpegang kepada kerangka kerjasama serantau yang berpaksikan ASEAN dan menentang konfrontasi blok di rantau ini serta memaksa negara rantau ini untuk menyebelahi mana-mana pihak.
Turut difahamkan bahawa kedua-dua pihak juga mengambil kesempatan untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu Myanmar dan krisis Ukraine.