Tegas Menentang Provokasi AS: Wang Yi

2022-08-04 18:01:39  CRI
Share with:

Amerika Syarikat (AS) menginjak-injak undang-undang antarabangsa, membelakangi komitmen yang dibuatnya kepada China, merosakkan keamanan Selat Taiwan, menyokong gerakan pemisah dan menghasut konfrontasi sesama blok.

Tindakan AS seumpama adalah provokasi terang-terangan terhadap rakyat China serta rakyat pelbagai negara yang mencintai keamanan di rantau ini, juga perjudian politik yang pasti mengundang padah teruk.

Demikian kata Menteri Luar Wang Yi ketika menghuraikan lebih lanjut pendirian China berhubung perbuatan provokatif AS yang mencemarkan kedaulatan China, semasa menghadiri siri mesyuarat menteri luar kerjasama Asia Timur di Phnom Penh hari ini.

Wang berkata, sandiwara politik yang dimainkan Nancy Pelosi adalah satu lagi kebankrapan politik, diplomasi dan kredibiliti AS. Ia membuktikan AS adalah pemusnah terbesar keamanan Selat Taiwan dan pengacau terbesar kestabilan serantau.   

Tingkah laku Pelosi juga membuktikan strategi Indo-Pasifik yang diamalkan AS bersifat konfrontasi dan amat berbahaya, serta kemunafikan dan sikap dwistandard negara itu terhadap peraturan antarabangsa.

 "Kalau China tidak berpendirian tegas menentang tindakan AS yang gila-gila, tidak bertanggungjawab dan sangat tidak rasional seperti ini, prinsip hubungan antarabangsa yang menghormati kedaulatan dan integriti wilayah hanya akan menjadi sehelai kertas lapuk.

"Sementara kegiatan kumpulan pemisah dan pelampau juga akan menjadi semakin berleluasa hingga memusnahkan ketenteraman serantau," katanya.

Beliau menegaskan langkah balas komprehensif yang diambil China selepas pertimbangan dan penilaian teliti adalah perlu dan tepat pada waktunya, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan domestik.

Sebagai amaran kepada pelaku provokasi, tindakan balas berkenaan bertujuan mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara, di samping menjaga kestabilan serantau dan keamanan Selat Taiwan.