Wang Yi Aju Saranan Perkasa Kerjasama Asia Timur
China bersedia bersama negara-negara serantau menyemarakkan solidariti dan kolaborasi ke arah merealisasikan lonjakan baharu dalam kerjasama Asia Timur.
Menteri Luar Wang Yi berkata China akan bersinergi dengan negara terlibat mengekalkan mekanisme 10+3 sebagai saluran utama kerjasama Asia Timur, meneguhkan niat asal untuk menggalakkan keamanan, kestabilan dan kemajuan serantau, di samping terus berjuang demi kepentingan asas serta kebajikan jangka panjang masyarakat.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN dengan China, Jepun dan Korea Selatan (10+3) di Phnom Penh, Kemboja pada Khamis.
Wang menyarankan pihak berbabit supaya merangka cetak biru jangka panjang mengenai pembangunan Asia Timur, sambil memecut integrasi ekonomi serantau.
Katanya, China bersedia memperuntukkan dana khas bagi kerjasama ekonomi dan teknologi RCEP di bawah kerangka Tabung Kerjasama China-ASEAN (ACCF) untuk meningkatkan keupayaan negara ASEAN dalam melaksanakan perjanjian berkenaan.
Di samping itu, China menyokong pembentukan mekanisme perundingan imigresen dan konsular 10+3, dan meningkatkan kekerapan penerbangan terus antara satu sama lain secara berperingkat.
Wang juga mengesyorkan usaha dilipatganda untuk meningkatkan keupayaan respons krisis, serta mendorong transformasi pembangunan serantau.
Dalam pada itu, China menyokong pembinaan rizab khas bekalan perubatan kecemasan 10+3 dan mekanisme mesyuarat peringkat menteri mengenai pengurusan bencana.
China juga akan meningkatkan sokongan kewangan terhadap mekanisme rizab kecemasan beras 10+3 untuk memastikan keselamatan makanan serantau terjamin.
Beliau turut menyeru pelbagai pihak mempergiat kerjasama meliputi infrastruktur digital, e-dagang, logistik digital dan bandar pintar, mempercepat pembangunan hijau serantau dan menggalakkan penubuhan perkongsian karbon rendah 10+3.