China Mahu Mantapkan Perkongsian Strategik Komprehensif dengan ASEAN
China komited berusaha bersama dengan ASEAN dalam membina komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih rapat bagi menyumbang kepada keamanan dan pembangunan serantau.
Demikian ujar Menteri Luar China, Wang Yi dalam Mesyuarat Menteri-menteri Luar China-ASEAN (10+1) di sini, pada Khamis.
Beliau dalam ucapannya turut menzahirkan ucapan tahniah ke atas kejayaan penting yang tercapai Komuniti ASEAN berikutan hubungan China-ASEAN ditingkatkan ke perkongsian strategik komprehensif pada November 2021.
“Sepanjang lebih separuh tahun lalu, kerjasama antara China dengan ASEAN membuahkan hasil yang menggalakkan dalam pelbagai bidang, perkongsian strategik komprehensif beroperasi dengan lancar,” kata Wang.
Beliau turut mengemukakan cadangan agar China dan ASEAN menyelaraskan strategi pembangunan kedua-dua pihak bagi mewujudkan situasi saling menguntungkan dan sama menang ke tahap yang lebih tinggi.
“China sedang mempercepat langkah bagi menunaikan janji untuk menghulurkan bantuan kepada pembangunan negara-negara ASEAN dan membantu pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global di rantau ini,” ujar Wang.
Beliau turut mengemukakan cadangan kepada kedua-dua pihak untuk berganding bahu dalam mewujudkan integrasi ekonomi serantau yang terbuka.
Ia termasuk mendorong pembinaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan melaksanakan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau yang berkualiti tinggi, mempercepat rundingan susulan berhubung Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN, meneroka kerjasama dalam bidang ekonomi digital dan mesra alam.
Wang juga menegaskan peri penting untuk meningkatkan kolaborasi China dan ASEAN dalam tadbir urus global serta memelihara keamanan dan kestabilan serantau.
“China bersedia berunding dengan pihak ASEAN untuk melaksanakan Inisiatif Keselamatan Global, mempercepat rundingan berhubung kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan bagi menjadikan Laut China Selatan sebagai laut yang damai, bekerjasama dan bersahabat,” katanya.
Selain itu, Wang juga mencadangkan penganjuran tahun kerjasama pembangunan pertanian dan keselamatan makanan China-ASEAN, dan mengemukakan kenyataan bersama berhubung kerjasama keselamatan bijirin dalam sidang kemuncak.
Menteri-menteri luar dari ASEAN dalam respons masing-masing pula menyanjung tinggi kerjasama yang rancak, berkonotasi dan berkesan antara ASEAN dan China sejak penjalinan perkongsian strategik komprehensif.
Mereka menyifatkan bahawa China adalah rakan yang boleh mewujudkan situasi saling untung, situasi sama menang dan mempunyai aspirasi yang sama.
Para menteri luar ASEAN turut menyahut cadangan tentang China dan ASEAN membina bersama kampung halaman yang damai, tenteram, makmur, indah dan bersahabat yang dikemukakan Presiden China Xi Jinping, di samping berharap penggabungan BRI dengan Pandangan ASEAN tentang Indo-Pasifik (AOIP), dan melanjutkan rundingan untuk melaksanakan Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global di rantau ASEAN.
Mereka juga berharap untuk mencapai kemajuan substantif dalam rundingan berhubung COC bagi memelihara bersama keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Dalam perkembangan lain, penjelasan Wang tentang pendirian tegas China berhubung provokasi AS terhadap kedaulatan China turut mendapat respons rakan-rakan sejawatannya yang lain.
Pelbagai menteri luar negara ASEAN telah menyuarakan pendirian mereka yang berpegang kepada prinsip Satu China dan sokongan terhadap tindakan China untuk membela kedaulatan dan keutuhan wilayah negara, serta mengeluarkan kenyataan bersama berhubung situasi di kedua-dua pantai Selat Taiwan.
Untuk rekod, Pelan Tindakan Perkongsian Strategik Komprehensif China-ASEAN yang diluluskan Mesyuarat Menteri-menteri Luar China-ASEAN (10+1) akan diserahkan kepada sidang kemuncak untuk dipersetujui.