HSR Pertama Jakarta-Bandung Siap Sepenuhnya
Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) pertama yang bakal digunakan untuk laluan Jakarta-Bandung, Indonesia siap dibina di pangkalan pembinaan Qingdao milik Kumpulan Syarikat Zhongche China (CRRC), pagi tadi.
Ia yang juga merupakan kumpulan gerabak HSR pertama dieksport ke luar China akan beroperasi dengan kelajuan tertinggi mencatat sehingga 350 kilometer sejam.
HSR Jakarta-Bandung dibina menggunakan teknologi HSR Fuxing China, yang sinonim dengan kelajuan paling tinggi di dunia, sekali gus digabungkan keadaan sebenar Indonesia bagi menyesuaikan dengan persekitaran operasi tempatan.
Projek HSR Jakarta-Bandung bukan sahaja salah satu program dalam kerangka inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan kerjasama substantif China-Indonesia, malah sistem, elemen dan rantai industri melibatkan HSR buatan China yang lengkap buat kali pertama bakal digunakan di luar China.
Untuk rekod, Konsortium Kontraktor HSR yang ditubuhkan oleh Syarikat Kereta Api Antarabangsa China (CRI) menandatangani kontrak EPC dengan Syarikat Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) pada 4 April 2017, manakala, projek tersebut pula dimulakan secara menyeluruh pada 9 Jun 2018.
Sebanyak 13 terowong sepanjang laluan HSR Jakarta-Bandung telah siap sepenuhnya pada 21 Jun 2022, dan setakat 1 Julai pula pembinaan landasan kereta api balast HSR Jakarta-Bandung siap dibina.
Sebagai HSR yang pertama di rantau Asia Tenggara dan projek penting di bawah kerangka inisiatif BRI, masa perjalanan yang berjarak kira-kira 142 kilometer antara Jakarta, ibu negara Indonesia dengan Bandung, ibu kota provinsi Jawa Barat negara itu, dijangka akan berkurangan dari lebih 3 jam kepada 40 minit sahaja.