China Sanggah 'Kebimbangan' AS dalam Isu LCS
Pendirian China dalam isu Laut China Selatan (LCS) mempunyai asas sejarah serta undang-undang antarabangsa yang kukuh.
Menteri Luar Wang Yi berkata China tidak pernah mengubah asas atau melaraskan skop tuntutan berkenaan, dan juga tidak mengemukakan tuntutan yang berlebihan.
Beliau berkata demikian sebagai menyangkal ‘kebimbangan’ dilahirkan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu LCS, semasa Mesyuarat Menteri–Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak Asia Timur ke-12 yang berlangsung di Phnom Penh pada Jumaat.
Menurutnya, China dan negara-negara ASEAN sentiasa menangani perselisihan sebaik-baiknya menerusi perundingan dua hala berpedomankan Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC).
Kedua-dua pihak telah mengekalkan kestabilan LCS pada keseluruhannya, sekali gus menyediakan persekitaran yang mantap demi pembangunan.
Wang berkata, risiko terbesar terhadap kedamaian LCS buat masa ini adalah campur tangan dan gangguan kuasa besar dari rantau lain.
Sejak sekian lama, AS tidak pernah mengemukakan sebarang perbezaan pendapat terhadap tuntutan kedaulatan dan kepentingan China di LCS, dan tidak memegang pendirian terhadap hak milik pulau dan terumbu di perairan tersebut.
Namun, negara itu sekarang beralih untuk menafikan secara menyeluruh pendirian China dalam isu tersebut. Amalan itu adalah tidak berasas dari segi logik, undang-undang dan keadilan.
Tambah beliau, China dan negara-negara ASEAN sedang mempercepat perundingan mengenai Kod Tatalaku (CoC) di LCS, dan berusaha bersama untuk menaiktarafkan DoC.