China Lakar Kecemerlangan dalam Pembinaan Prasarana Pengangkutan

2022-08-12 12:20:31  CRI
Share with:

China berjaya membuktikan kemampuannya dalam menyediakan prasarana pengangkutan yang terbaik buat rakyatnya meskipun pada awalnya usaha itu kelihatan sukar untuk direalisasikan.

Kejayaan yang dicapai dalam tempoh sedekad itu turut mengubah kehidupan ratusan juta rakyat China.

Dalam tempoh tujuh tahun lalu, 17 stesen kereta api dibina di kawasan aliran Sungai Yarlung Zangbo, wilayah Tibet dengan ketinggian purata lebih 3,500 meter dari paras laut.

Kereta Api Lhasa-Nyingchi yang dihubungkan dengan stesen-stesen itu telah menyeberangi Sungai Yarlung Zangbo sebanyak 16 kali, hingga berjaya membawa wilayah Tibet ke dalam "era HSR".

Pada ketinggian 4,700 meter dari paras laut di Gunung Sejila dan sering diselubungi salji dalam tempoh setahun dan mempunyai kedudukan geologi yang istimewa seperti cuaca dingin dan altitud tinggi, projek kereta api ini antara paling mencabar pernah dihadapi manusia setakat ini.


Sejak sedekad lalu, jentera berat termaju seperti mesin penggali terowong (TBM) " Pioneer in Snow", dibangunkan di China dan digunakan untuk projek besar. Di wilayah tengah dan barat, jumlah TBM meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 2014.

Di gurun Gobi yang luas, gelung kereta api padang pasir pertama di dunia dengan panjangnya 2,712 kilometer yang mengelilingi Gurun Taklimakan turut berjaya dibina.

Sementara itu di provinsi Guizhou yang kaya dengan bentuk muka bumi Karst, kini mempunyai hampir 20,000 jambatan pelbagai jenis, menjadikan wilayah yang langsung tidak mempunyai kawasan rata kini memiliki “dataran berkelajuan tinggi".

Guizhou juga bakal menjadi wilayah pertama di kawasan barat China dengan sambungan HSR antara semua bandar, dan lebuh raya antara semua kaunti.

Dalam sepuluh tahun lalu, sebanyak 50,000 kampung kini mempunyai laluan bas, sementara pembinaan landasan kereta api melebihi 60,000 kilometer di kawasan barat China pula berjaya menyumbang 40 peratus daripada jumlah keseluruhan di China.

Jika sepuluh tahun yang lalu, ketika perayaan Tahun Baharu China, berjuta-juta pekerja dari wilayah Guangxi di barat daya China hanya boleh pulang ke kampung halaman dengan menaiki motosikal sahaja, kini ia tinggal sejarah apabila masing-masing boleh menikmati perkhidmatan pengangkutan awam.