Program Penempatan Semula Ubah Landskap Kehidupan 9.6 Juta Penduduk China

2022-08-15 15:02:15  CRI
Share with:

Program penempatan semula menyaksikan seramai lebih 9.6 juta orang penduduk China bebas daripada kemiskinan, sekali gus mengubah landskap kehidupan masyarakat pedalaman.

Pelaksanaan program itu membabitkan kawasan yang amat luas dan golongan miskin yang paling ramai sejak penubuhan Republik Rakyat China pada 1949. 

Program berkenaan membawa sinar baharu kepada masyarakat tempatan yang tinggal pada ketinggian 1,600 meter hingga 2,500 meter dari paras laut di wilayah Yunnan di barat daya China.

Kampung Tuoping di kaunti Fugong kini mendapat wajah baharu selepas penduduk sekampung berpindah ke kawasan kediaman yang dilengkapi pelbagai kemudahan awam seperti lapangan senam, tadika dan perkhidmatan rangkaian 4G.

Di Fugong, terdapat 15 kawasan kediaman seumpama yang menyediakan rumah baharu kepada seramai 22,000 penduduk, bersamaan satu perlima jumlah keseluruhan penduduk kaunti berkenaan.

Selain wilayah Yunnan, program penempatan semula juga dilaksanakan secara besar-besaran di bahagian tengah dan barat China yang dikelilingi gunung-ganang, atau tempat yang berlaku penggurunan teruk serta kawasan beraltitud tinggi dalam tempoh sedekad lalu.

Di wilayah Qinghai, barat laut China, penduduk tempatan dari hampir 48 buah kampung miskin dipindahkan ke kawasan perumahan seluas 100 hektar.

Difahamkan, kira-kira 35,000 kawasan perumahan dibangunkan di seluruh negara untuk menempatkan semula golongan miskin, sebagai komponen penting kempen membasmi kemiskinan yang turut membawa seramai 98.99 juta penduduk keluar daripada belenggu kemiskinan mutlak.