Rakyat Malaysia, China Perlu Terus Rapatkan Hubungan - Nushirwan

2022-08-15 15:33:04  CRI
Share with:

Duta Besar Malaysia ke China, Raja Dato’Nushirwan Zainal Abidin berpendapat bahawa adalah penting bagi rakyat Malaysia dan China untuk saling lebih mengenali antara satu sama lain.

 

Beliau berkata, meskipun kedua-dua negara mempunyai sejarah hubungan selama ribuan tahun, namun banyak lagi yang perlu diketahui khususnya dalam kalangan rakyat.

 

“Kita (Malaysia) ada kelebihan iaitu lebih 20 peratus populasi terdiri daripada etnik Cina yang memberi kita jendela unik untuk mengenali China.

 

“Walaupun terdapat perbezaan, namun inilah realitinya,” ujar Nushirwan.

 

Jelas beliau, lebih penting adalah terdapat kemahuan pada peringkat kerajaan kedua-dua negara yang mahu lebih saling mengenali.

 

Nurshirwan berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Festival ‘Malaysia Truly Asia’ yang diadakan di Beijing, pagi tadi.

 

Festival yang dijadual berlangsung sehingga 31 Ogos nanti bertujuan untuk meningkatkan kesederan tentang identiti Malaysia dalam kalangan masyarakat China, selain turut diadakan sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-65.