Momentum Transformasi Ekonomi China Berterusan: NBS

2022-08-17 12:19:10  CRI
Share with:

Petunjuk ekonomi utama China kekal memperlihatkan trend pemulihan mantap dalam tujuh bulan pertama tahun ini, menurut Biro Statistik Negara (NBS).

Data NBS menunjukkan, nilai tambah sektor pembuatan berteknologi tinggi menokok ketara berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ia secara tidak langsung turut mencerminkan momentum berterusan transformasi dan penaiktarafan ekonomi China.

Secara lebih terperinci, nilai tambah sektor itu naik 9 peratus, manakala pelaburan terhadap industri teknologi tinggi meningkat sebanyak 20.2 peratus dalam tempoh tersebut. 

Ekonomi digital juga memperlihatkan pertumbuhan baik apabila indeks pengeluaran sektor penghantaran maklumat, perisian dan perkhidmatan teknologi maklumat menokok sebanyak 12.1 peratus.

Sejak awal tahun ini, organisasi antarabangsa utama termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah beberapa kali menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi dunia sepanjang tahun, dan harga komoditi pukal secara amnya berada pada paras yang tinggi.

Terdahulu, ekonomi China mengalami kemerosotan pada April susulan pengaruh daripada beberapa faktor dalaman dan luaran.

Hasil pelaksanaan pakej dasar bagi memantapkan ekonomi, prestasi ekonomi negara beransur pulih pada Mei dan Jun, hingga mencapai pertumbuhan positif dalam suku kedua.  

Pakar ekonomi menyifatkan prestasi itu adalah amat sukar untuk diperolehi.

Menyentuh mengenai trend ekonomi sepanjang tahun, jurucakap NBS Fu Linghui menganalisis bahawa masih wujud banyak faktor yang menyekat permintaan pasaran buat masa ini, manakala urus niaga perusahaan turut berdepan kesulitan. 

Katanya, asas pemulihan ekonomi perlu diperkukuh lagi, sambil terus mempergiat pelaksanaan langkah-langkah untuk menstabilkan ekonomi supaya memacu pemulihan ekonomi secara berterusan.