Kerjasama Pertanian China, Afrika Kekal Kukuh

2022-08-17 13:35:30  CRI
Share with:

Aktiviti perdagangan antara China dengan Afrika membabitkan barang makanan dan produk pertanian dilihat semakin rancak yang turut membawa limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua pihak.

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin sebagai respons terhadap laporan bahawa Kenya mengeksport buah segar avokado ke China baru-baru ini sehingga mendapat sambutan yang sangat baik.

Wang berkata, kerajaan China sentiasa mementingkan ikatan kerjasama pertanian dengan Afrika dan bergiat aktif dalam urusan mengimport hasil pertanian dari benua itu.

“Sejak Sidang Kemuncak Beijing bagi Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) pada 2018, kami (China) menyediakan akses pasaran bagi 25 jenis produk dari 14 negara Afrika, termasuk Kenya, Afrika Selatan, Benin dan Mesir,” kata beliau dalam satu sidang media, di Beijing, Selasa.

Menurut Wang, China kekal sebagai destinasi kedua terbesar eksport bagi pengeluar hasil pertanian di Afrika.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, eksport berkenaan terus mantap dengan kadar pertumbuhan purata sebanyak 11.4 peratus, khususnya nilai eksport yang dicatat pada 2021 naik 18.23 peratus,” jelas beliau.   

Semasa Persidangan Menteri ke-8 FOCAC pada November lalu, China mengumumkan pemberian kemudahan laluan hijau kepada hasil pertanian keluaran Afrika.

Jabatan Pentadbiran Am Kastam (GACC) turut mengambil langkah memudahkan urusan perdagangan, antaranya termasuk pemberian keutamaan kepada pengeluar hasil pertanian Afrika yang membuat permohonan akses ke pasaran China.

GACC akan memulakan proses penilaian risiko serta urusan pemeriksaan dan kuarantin sejurus selepas menerima dokumen teknikal yang disediakan negara berkenaan.

Prosedur kemasukan akan dipercepat apabila kerja penilaian risiko dilakukan secara serentak ke atas produk pertanian tertentu dari negara yang sama dengan teknik pemprosesan yang serupa, atau produk jenis sama, tetapi dikeluarkan oleh negara berbeza.

Bagi penggiat industri pertanian Afrika yang mendapat askes ke pasaran China, urusan pendaftaran mereka akan menjadi lebih mudah, dengan pemeriksaan dilakukan GACC menerusi pautan video.