CIETAC Tubuh Pusat Perbicaraan ASEAN bagi Permudah Timbang Tara
Suruhanjaya Timbang Tara Ekonomi dan Perdagangan Antarabangsa China (CIETAC) menubuhkan pusat perbicaraan ASEAN di Nanning, ibu kota wilayah Guangxi, pada Selasa.
Penubuhan pusat itu bertujuan mempermudah usaha penimbangtaraan, di samping menggalakkan syarikat serantau menyelesaikan pertikaian menerusi timbang tara.
Ia juga dianggap inisiatif bagi memberi jaminan undang-undang kepada perkembangan hubungan ekonomi dan perdagangan China-ASEAN.
Seiring dengan penguatkuasaan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), usaha menyelesaikan pertikaian perniagaan dengan baik mengikut undang-undang serta menjaga kepentingan sah entiti pasaran secara adil menjadi agenda utama yang dihadapi negara anggota.
Berbanding mengemukakan tuntutan mahkamah, penyelesaian pertikaian menerusi timbang tara merupakan kaedah yang menjimatkan kos dan lebih cekap.
Menurut Presiden Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT) cawangan Guangxi, Wei Ran, penubuhan pusat perbicaraan itu akan membantu Guangxi membina pusat penimbangtaraan serantau untuk anggota RCEP, khususnya ASEAN.
Tambah beliau, ia juga akan menyumbang kepada pembentukan persekitaran perniagaan yang berlandaskan undang-undang dan bertaraf antarabangsa di kawasan serantau, dan mempermudah penimbangtaraan untuk menyelesaikan pertikaian.