Dedikasi Ma Wenyi Terhadap Kesihatan Kaum Penggembala

2022-08-19 13:34:57  CRI
Share with:

Pengarah Hospital Rakyat Kaunti Zeku di wilayah Qinghai, Ma Wenyi berjaya meraih gelaran ‘Doktor Unggul’ menjelang sambutan Hari Petugas Perubatan China ke-5 pada 19 Ogos.

Pada 1990-an, Ma, seorang graduan perubatan, ditempatkan bertugas di kaunti Zeku di daerah autonomi Huangnan berpenduduk etnik Tibet, barat laut China. 

Berada pada ketinggian 3,700 meter dari paras laut, purata suhu sepanjang tahun di kaunti itu adalah -2.4 darjah Celsius.

Beliau yang fasih dalam bahasa Tibet mendapat tempat di hati penggembala tempatan dan ramai menyimpan nombor telefonnya untuk memudahkan komunikasi sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Sejak menceburi bidang perubatan khususnya apabila bergelar doktor, Ma berpendirian bahawa layanan harus diberikan secara sama rata, baik dan mesra kepada pesakit.

Sepanjang berkhidmat selama 27 tahun di sana, pelbagai pahit dan manis yang telah diharunginya.

Ma sanggup berkorban demi kesejahteraan masyarakat dengan usaha gigih dilakukannya untuk menambah baik fasiliti perubatan di hospital tempatan, seperti membangunkan Pusat Bersalin Berisiko Tinggi dan Pusat Sakit Dada.