Kenyataan Segelintir Negara Mengenai Isu Taiwan Undang Bantahan

2022-08-24 13:24:58  CRI
Share with:

China membantah kenyataan salah wakil tetap segelintir negara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu Taiwan.

Bantahan itu dizahirkan Misi Tetap China ke PBB menerusi satu kenyataan pada Selasa sebagai respons terhadap kenyataan bersama berhubung isu Taiwan dan situasi semasa di Selat Taiwan yang dikeluarkan wakil tetap segelintir negara ke PBB termasuk Belize, Eswatini, Guatemala serta Saint Vincent dan Grenadines pada hari yang sama.

“China membantah keras kenyataan berkenaan yang terbukti tidak selaras dengan fakta, dan mengemukakan tohmahan tidak berasas terhadap tindakan munasabah negara ini bagi mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah.

“Hanya terdapat satu China di dunia, dan Taiwan merupakan sebahagian wilayah China yang tidak boleh dipisahkan.

“Republik Rakyat China merupakan satu-satunya kerajaan sah yang mewakili negara ini. Perkara itu telah  dimuktamadkan dalam resolusi No. 2758 Perhimpunan Agung PBB pada 1971,” memetik kenyataan itu.

Kenyataan itu menegaskan, dasar satu China merupakan konsensus bersama masyarakat antarabangsa dan patut dijunjung bagi mematuhi norma asas hubungan antarabangsa.

“Negara-negara yang mengeluarkan kenyataan salah itu masih mengekalkan apa yang disebut ‘hubungan rasmi’ dengan Taiwan.

“Amalan itu menjejaskan teruk kedaulatan dan mencampuri urusan dalaman China, di samping menjadikan mereka berdiri di belah yang bertentangan dengan majoriti negara di dunia.

“Negara-negara tersebut membuat kesalahan lagi dengan mengeluarkan kenyataan yang memutarbelitkan fakta pada ketika ini,” menurut kenyataan itu.