Hentilah Bermain Politik dan Bersandiwara

2022-08-24 16:45:35  CRI
Share with:

Kebelakangan ini, sesetengah politikus Amerika Syarikat(AS) tak habis-habis bersandiwara dan mengambinghitamkan China dalam isu Taiwan.

Pegawai kanan negara itu silih berganti melemparkan fitnah yang mendakwa China menunjukkan reaksi berlebihan berhubung lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi ke Taiwan.

Mereka menyalahkan Beijing mengambil tindakan balas sehingga menyebabkan berlakunya krisis hubungan dua negara dengan niat memindahkan tanggungjawabnya terhadap ketegangan terus memuncak di Selat Taiwan ke bahu pihak China.

Lebih memburukkan lagi keadaan, segelintir politikus AS masih berdegil membuat lawatan mengejut ke Taiwan satu demi satu yang turut mengapi-apikan ketegangan di Selat Taiwan.

Meneliti semula peristiwa ini, sesiapa sahaja tanpa prejudis dapat melihat bahawa ia berlaku akibat komplot dirancang AS serta tindakan provokatifnya.

Demi mengaut laba politik sendiri, Pelosi nekad melawat Taiwan dengan persekongkolan dan pengaturan kerajaan AS, menyebabkan prinsip satu China dicemari dan tiga kenyataan bersama China-AS terjejas.

Lawatan berkenaan mencabul kedaulatan negara dan integriti wilayah China, menjejaskan keamanan dan kestabilan Selat Taiwan, serta merosakkan asas politik hubungan antara dua negara.

Beijing bersikap konsisten dalam pendirian mengenai pemeliharaan kestabilan Selat Taiwan, dan berulang kali menekankan betapa bahayanya lawatan Pelosi ke Taiwan.

Pihak AS juga diberi amaran bahawa jika meneruskan niat mencabar China, negara itu nescaya akan menanggung semua akibat yang timbul daripadanya.

Undang-undang antarabangsa memberi jaminan hak kepada setiap negara untuk mengambil langkah yang sewajarnya dalam mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah, serta menolak sebarang campur tangan luar.

Tatkala menghadapi provokasi AS, China tiada pilihan lain selain bertindak balas dengan tujuan memberikan amaran kepada pelaku, mengenakan hukuman setimpal terhadap kuasa  ‘kemerdekaan Taiwan’, dan mempertahankan kepentingan teras negara.

Lebih daripada 170 negara dan banyak pertubuhan antarabangsa berdiri teguh di sisi China dengan menegaskan bahawa mereka berpegang pada prinsip satu China.

Bekas Setiausaha Negara AS, Henry Kissinger baru-baru ini berkata lawatan Pelosi ke Taiwan merupakan “langkah yang tidak bijak”, dan menyifatkannya sebagai satu contoh cubaan menangani isu berkenaan secara konfrontasi.

Sampai sinilah, selok-belok tentang lawatan mengejut Pelosi ke Taiwan sudah diketahui dengan jelas: AS lah yang menjadi pencetus masalah. Selain menyalahkan pihak lain, ia lah yang bertindak umpama menuang minyak ke dalam api.