Dunia Terus Tolak ‘Perang Dingin Baharu’

2022-08-25 14:28:42  CRI
Share with:

Wakil tetap China di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun menyatakan ‘Perang Dingin Baharu’ kekal ditolak oleh seluruh dunia.

 

Menurut beliau, krisis Ukraine dan beberapa siri pergeseran dunia membuktikan pentingnya untuk bekerjasama dan bersatu padu bagi menghadapi cabaran.

 

Jelas Zhang, semua pihak perlu berwaspada terhadap sebarang niat untuk mencetuskan provokasi dan perpecahan serta pertentangan bagi melindungi kestabilan strategik global, sekali gus mencegah daripada tercetusnya ‘Perang Dingin Baharu’.

 

Beliau berkata ketika menghadiri mesyuarat terbuka melibatkan isu Ukraine anjuran Majlis Keselamatan PBB, pada Rabu.

 

Zhang menegaskan bahawa penyebaran NATO ke Timur gagal membawa keselamatan kepada Eropah, dan sebaliknya hanya menanam ‘benih risiko konflik’.

 

“Hakikatnya, umat manusia merupakan komuniti keselamatan yang tidak boleh dipisahkan.

 

“Oleh itu, keselamatan bersama adalah selaras dengan kepentingan bersama pelbagai negara,” ujar beliau.

 

Zhang berkata, pendirian China dalam isu Ukraine adalah tegas dan tidak berubah.

 

“Pertama, undang-undang kemanusiaan antarabangsa perlu dijadikan kod tata laku pihak terbabit dan kemudahan awam tidak boleh dijadikan sasaran serangan ketenteraan.

 

“Kedua, masyarakat antarabangsa bukan sahaja perlu berusaha membantu pelarian Ukraine mengatasi kesukaran, malah perlu sebaik mungkin mengurangkan impak akibat konflik terhadap bahan makanan, sumber tenaga dan kestabilan kewangan.

 

“Ketiga, pihak Rusia dan Ukraine perlu terus mengekalkan dialog supaya mengadakan semula rundingan diplomatik seawal mungkin sehingga dapat menamatkan peperangan,” tambahnya lagi.

 

Zhang memberitahu, Amerika Syarikat (AS) dan NATO juga perlu berfikir semula peranan masing-masing supaya dapat memberi perhatian pada isu sebenar yang mampu membuahkan keamanan.