Isu sempadan China-India Tolak Campur Tangan Pihak Ketiga: Kementerian Pertahanan China

2022-08-26 12:43:59  CRI
Share with:

China tegas menolak campur tangan pihak ketiga terhadap isu sempadan China-India dalam apa jua bentuk.

Demikian kata jurucakap Kementerian Pertahanan China, Kolonel Tan Kefei dalam sesi taklimat pada Khamis, sebagai respons terhadap latihan ketenteraan bersama selama lebih 20 hari yang diadakan Pasukan Operasi Khas Amerika Syarikat (AS) dan India di kaki bukit selatan Himalaya yang disifatkan sebagai kawasan yang dipertikaikan China-India baru-baru ini.

"China menegaskan bahawa kerjasama ketenteraan antara negara-negara yang berkaitan, khususnya aktiviti latihan ketenteraan, tidak sepatutnya menyasarkan pihak ketiga dan harus bersifat kondusif bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.

"Isu sempadan adalah perkara antara China dan India. Kedua-dua negara  mengekalkan komunikasi efektif menerusi pelbagai peringkat, sementara bersepakat menangani pertikaian melalui dialog dua hala," kata  jurucakap itu.  

Tambah Tan, berpedomankan semangat perjanjian yang ditandatangani antara China dan India pada 1993 dan 1996, kedua-dua pihak tidak dibenarkan melakukan latihan ketenteraan yang menyasarkan satu sama lain di kawasan sekitar Garis Kawalan Sebenar (LAC).

Dalam perkembangan lain, angkatan tentera AS dan India juga merancang menjalakan latihan ketenteraan bersama pada Oktober berdekatan kawasan yang dipertikaikan China-India.