Lebih 2.7 Juta Sijil Tempat Asal Ditandatangani dalam 7 Bulan

2022-08-30 13:26:06  CRI
Share with:

Dimaklumkan dari satu sidang akhbar anjuran Dewan Promosi Perdagangan Antarabangsa (CCPIT) semalam, sebanyak 2.715 juta sijil pengiktirafan tempat asal ditandatangani dan dikeluarkan pada tempoh 7 bulan tahun ini. Nilai keseluruhan sijil tersebut meningkat 23.7% berbanding tempoh yang sama tahun yang lalu, dengan mencatat USD 233.31 bilion (RM1.046 trilion).

Sijil pengiktirafan tempat asal merupakan dokumen dikeluarkan agensi tertentu negara pengeksport untuk membuktikan produk pengeksportan terbabit berasal dari negara (atau kawasan) itu. Oleh itu, keadaan pemberian sijil tersebut juga dianggap umpama “barometer” perdagangan luar.

Jurucakap penerangan CCPIT yang juga Ketua Setiausaha Dewan Perniagaan Antarabangsa China (CCOIC), Sun Xiao menyatakan bahawa lebih 80 ribu buah syarikat perdagangan luar dari 30 buah provinsi, wilayah dan bandar seluruh China telah diberi sijil tersebut yang melibatkan sektor mekatronik, kimia, tekstil dan automobil.

Sun juga menambah bahawa jumlah pemberian sijil pengiktirafan tempat asal dalam kerangka Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pula meningkat pesat. Pada tempoh yang sama, sebanyak 70.2 ribu sijil tempat asal RCEP yang bernilai USD3.432 bilion (RM15.39 bilion) telah ditandatangani, sedangkan jumlah syarikat yang memohon sijil tersebut pula melebihi 15 ribu buah, dan kedua-duanya dilihat menyumbang kepada pengurangan tarif produk pengeksportan China kira-kira USD52 juta (RM233 juta) di negara anggota RCEP.