Malaysia Jadi Tetamu Utama CAEXPO ke-19
BEIJING, 30 Ogos— Kerja-kerja persiapan Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-19 yang dijadual berlangsung dari 16 hingga 19 September di Nanning, wilayah Guangxi sudah diselesaikan.
Bertemakan ‘Berkongsi Peluang Baharu RCEP dan Membina Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0’, Malaysia akan menjadi tetamu utama untuk CAEXPO edisi kali ini.
Difahamkan, status Malaysia sebagai tetamu utama juga bertepatan dengan ulang tahun ke-10 pembinaan Taman Perindustrian Qinzhou di China dan Taman Perindustrian Kuantan di Malaysia iaitu ‘Dua Negara, Dua Taman’ antara China dan Malaysia.
Seiring dengan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mulai awal tahun ini, pembinaan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0 juga akan turut dimulakan.
Pada CAEXPO kali ini, kawasan pameran negara luar menyumbang kira-kira 30%, iaitu bersamaan dengan tahap yang sama sebelum tercetusnya wabak Covid-19.
Untuk rekod, Pusat Ekonomi dan Perdagangan China-ASEAN akan beroperasi secara rasmi, manakala Pusat Produk Istimewa China-ASEAN akan dirasmikan sempena CAEXPO tahun ini, sementara ‘CAEXPO on the Cloud’ pula akan diadakan sepanjang tahun.
Menurut statisitik, perdagangan China-ASEAN terus berkembang pesat apabila jumlah perdagangan antara China dan negara-negara ASEAN untuk tujuh bulan pertama 2022 mencapai USD544.9 bilion.
Ia sekali gus menyaksikan peningkatan tahun ke tahun mencecah 13.1% selain turut menyumbang sebanyak 15% daripada jumlah import dan eksport perdagangan asing China.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN selama 13 tahun berturut-turut, dan kedudukan ASEAN sebagai rakan dagang terbesar China turut semakin kukuh.
Pembantu Menteri Perdagangan China, Li Fei berkata bahawa integrasi ekonomi serantau akan dipercepatkan lagi.
“RCEP dan Perjanjian Perdagangan Bebas China-Kemboja telah berkuatkuasa dan sudah mencapai hasil yang cukup memberangsangkan.
“Kajian mengenai CAFTA 3.0 juga turut dipercepatkan, sementara rundingan susulan mengenai peningkatan Perjanjian Perdagangan Bebas China-Singapura juga berjalan lancar,” ujar beliau.
Li berkata, pada masa sama, Kawasan Pertumbuhan China-ASEAN Timur, Kerjasama Sub-rantau Lancang-Mekong turut diperdalam dan diperkukuh, manakala tahap kebebasan dan kemudahan perdagangan serta pelaburan antara China dan negara-negara ASEAN juga telah memasuki tahap yang baharu.