Jumlah Perdagangan China-ASEAN Naik 13.1% dalam 7 Bulan

2022-08-30 13:53:30  CRI
Share with:

Dimaklumkan dari satu sidang akhbar anjuran Pejabat Penerangan Dewan Negara semalam, jumlah perdagangan China-ASEAN pada Januari hingga Julai tahun ini meningkat 13.1% berbanding tempoh yang sama tahun yang lalu, dengan mencatat USD544.9 bilion (RM2.443 trilion), sekaligus menjadikan nisbahnya dalam keseluruhan import eksport perdagangan luar China meningkat kepada 15%. Sehubungan itu, China kekal rakan dagang terbesar ASEAN untuk 13 tahun secara berturut-turut.

Penolong Menteri Perdagangan China, Li Fei dalam sidang akhbar tersebut menyatakan bahawa kerjasama pelaburan China-ASEAN pula mencapai hasil yang memuaskan  seiring dengan peningkatan pesat perdagangan dua hala.

Menurut Li, setakat penghujung bulan Julai, jumlah pelaburan dua hala China-ASEAN telah melebihi USD340 bilion (RM1.524 trilion). Oleh itu, China dan ASEAN telah menjadi rakan kerjasama paling dinamik bagi pihak masing-masing dalam sektor pelaburan.

Selain itu, projek “dua negara, dua taman” China-Malaysia dan China-Indonesia dilaksanakan dengan lancar. China dan negara ASEAN juga giat mengembangkan kerjasama bidang ekonomi digital, e-niaga dan pembangunan hijau sehingga rantai industri dan pembekalan semakin rapat.

Sementara itu, projek kontrak kendalian syarikat China di negara ASEAN dijalankan selangkah demi selangkah dan jumlah pendapatan dilaporkan sudah melebihi USD380 bilion (RM1.7 trilion) setakat penghujung bulan Julai.