Pencapaian Hubungan Malaysia-China Luar Jangkaan: Dato’ Nushirwan

2022-08-31 13:17:09  CRI
Share with:

Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin menyifatkan perkembangan hubungan Malaysia-China sebagai di luar jangkaan.

 

Jelasnya, sekiranya diajukan soalan mengenai perkembangan hubungan kedua-dua negara pada 30 tahun lalu, beliau dan diplomat lain turut berkemungkinan tidak menjangkakan bahawa hubungan kedua-dua negara mampu berkembang ke tahap yang dicapai ketika ini.

 

“Contohnya, perdagangan bilateral mencatat USD176.8 bilion pada tahun 2021, sekali gus menjadikan Malaysia rakan dagang kesembilan terbesar bagi China.

 

“Mereka (para diplomat veteran lain) juga, saya rasa, akan terkejut sekiranya mendapat tahu pada 2019 terdapat 3.1 juta rakyat China yang datang ke Malaysia sebagai pelancong selain jumlah pelaburan yang dicatatkan pada masa ini,” ujar Dato’ Nushirwan.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui Kumpulan Media China (CMG) sempena Majlis Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 anjuran Kedutaan Besar Malaysia ke China.

 

Melihat ke hadapan, Dato’ Nushirwan turut bersifat optimis terhadap hubungan kedua-dua negara untuk menjadi lebih kukuh.

 

“Pertama, Malaysia dan China merupakan negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang menggabungkan ASEAN dan lima negara lain menjadi pasaran bersama yang paling besar di dunia.

 

“Kedua, kita akan melihat kepada peningkatan atau penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA), dan ia juga akan mengukuhkan hubungan antara Malaysia, China dan ASEAN,” tambah beliau.

 

Nushirwan berkata, jika dilihat dari segi politik, Malaysia dan China telah menjalinkan perkongsian strategik komprehensif pada 2013, dan ia merupakan pencapaian yang amat signifikan.

 

“Jadi dengan pulihnya pergerakan aliran pelancong China ke Malaysia dan sebaliknya, saya optimis hubungan Malaysia-China akan menjadi lebih kukuh pada beberapa tahun akan datang,” katanya.