Xi Kirim Ucapan Tahniah Kepada Agong Sempena Ulang Tahun Kemerdekaan ke-65 Malaysia

2022-08-31 13:21:57  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi kiriman surat sempena Hari Kebangsaan Malaysia hari ini.

 

Memetik ucapan Xi, Malaysia telah mencapai kejayaan yang besar dalam pembangunan negara.

 

Katanya, taraf hidup rakyat Malaysia semakin meningkat dan begitu juga dengan peranan Malaysia dalam hal ehwal serantau serta antarabangsa.

 

Xi berkata bahawa China dan Malaysia adalah negara jiran muhibah sejak sekian lama, dan hubungan bilateral berkembang sihat secara konsisten.

 

“Kedua-dua negara bersinergi menggariskan pelan tindakan pembangunan pasca pandemik, sekali gus memberikan sumbangan positif kepada kemakmuran dan kestabilan serantau,” ujarnya.

 

Xi menekankan bahawa beliau amat mementingkan perkembangan hubungan China-Malaysia.

 

Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk berusaha bersama-sama Al-Sultan Abdullah bagi memperkukuh kesalingpercayaan politik, mengintensifkan kolaborasi dari pelbagai bidang, dan menggalakkan hubungan dua hala terus berkembang ke arah pembinaan bersama komuniti berkongsi nasib yang turut membawa limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.