China Sumbangkan BWI kepada Pakistan

2022-09-01 13:24:50  CRI
Share with:

Majlis penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kecemasan yang disumbangkan Persatuan Palang Merah China (RCSC) kepada  Persatuan Bulan Sabit Merah Pakistan (PRCS) diadakan di Kedutaan China di Pakistan pada malam Selasa.

Duta Besar China ke Pakistan, Nong Rong pada majlis tersebut menyifatkan China dan Pakistan sebagai sahabat sejati dan saudara yang bersemangat “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul” dalam mengharungi kesusahan bersama. 

“China memutuskan akan menghantar bantuan kemanusiaan yang melibatkan 25 ribu khemah dan barangan keperluan lain kepada Pakistan.

”Selain itu, China juga komited menyediakan bantuan kepada Pakistan dalam pembangunan semula pasca bencana, dan meningkatkan kerjasama kedua-dua pihak dalam pencegahan dan pengurangan risiko bencana” kata beliau.  

Setiausaha Tambahan Kementerian Luar Pakistan bagi Hal Ehwal Asia Pasifik, Mumtaz Zahra Baloch pula berkata, pihaknya menzahirkan rasa terima kasih atas bantuan kecemasan China tatkala negara itu sedang dilanda bencana banjir yang dahsyat.

Pengerusi PRCS, Abrarul Haq dalam ucapannya juga melahirkan rasa terima kasih atas bantuan dari kerajaan dan rakyat China serta RCSC.

Pada hari yang sama, Jabatan Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan mengumumkan bahawa pelbagai bencana ekoran hujan lebat sejak pertengahan bulan Jun telah meragut 1,136 nyawa di negara itu, manakala jumlah mangsa melebihi 33.04 juta orang.