Rantau Asia-Pasifik Harus Dijadikan Pentas Kerjasama

2022-09-01 14:26:10  CRI
Share with:

Negara-negara di luar rantau Asia-Pasifik harus berhemah menghormati kepentingan dan keinginan negara-negara rantau ini dan menjadikan rantau ini sebagai pentas untuk kerjasama yang saling menguntungkan dan bukannya gelanggang pergelutan untuk persaingan campur tolak.

Demikian kata jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian pada Rabu sebagai respons terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang menyifatkan China sebagai "pasaran besar" bagi Malaysia dan ASEAN serta menegaskan peri pentingnya untuk mengekalkan hubungan dengan China dalam bidang ekonomi.

Tun Dr Mahathir yang yakin China tidak akan menduduki negara lain juga menggesa negara-negara ASEAN untuk mengeratkan pergaulan dengan China, dan menjauhkan diri dari terlibat dalam tindakan provokasi negara lain terhadap China.

Zhao terlebih dulu melahirkan harapan agar Tun Dr Mahathir Mohamad cepat sembuh daripada jangkitan COVID-19.

Menurut Zhao, sejak hubungan dialog terjalin lebih tiga dekad lalu, hubungan China-ASEAN berkembang mantap dan menjadi semakin kukuh dalam pelbagai bidang.

"Kedua-dua pihak berganding bahu dalam usaha melawan pandemik COVID-19, kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan pula berkembang dengan pesat, manakala kerjasama dalam bidang keselamatan semakin mantap. Selain itu, kedua-dua pihak juga melakar hasil yang merangsangkan dalam banyak bidang lain.

“China dan ASEAN merupakan rakan dagang terbesar antara satu sama lain. Dari Januari hingga Julai tahun ini, perdagangan dua hala mencatat USD544.9 bilion (RM2.443 trilion), meningkat sebanyak 13.1 peratus berbanding dengan tempoh sama tahun lepas, yang turut memberikan manfaat ketara kepada rakyat kedua-dua pihak yang berjumlah dua bilion.

“China berpendirian konsisten dalam pembangunan perkongsian inklusif yang tidak menyasarkan pihak ketiga dan menentang amalan memaksa negara-negara lain untuk memihak," kata jurucakap itu.