Angkasawan Shenzhou-14 Keluar dari Sini!

2022-09-02 13:04:02  CRI
Share with:

Semasa misi penerbangan angkasa lepas kendalian Shenzhou-12 dan Shenzhou-13 China, angkasawan China menyelesaikan empat misi aktiviti luar kenderaan (EVA) dari modul teras Tianhe stesen angkasa.

Misi EVA pertama kru Shenzhou-14 yang baru diselesaikan pada awal pagi tadi adalah dari kabin 'airlock' modul eksperimen Wentian. Jadi, bagaimanakah rupa kabin tersebut? Apakah ciri-cirinya?

Kabin 'airlock' modul eksperimen Wentian mempunyai bentuk yang sangat unik. Ia adalah satu-satunya kabin dalam sistem stesen angkasa yang kelihatan segi empat sama dan ia direka dengan teliti.

Menurut ketua pereka sub-sistem percubaan teknologi angkasa Akademi Kelima Sains Aeroangkasa China, Li Zhe, pertimbangan utama adalah untuk menyediakan platform eksperimen yang terdedah di luar.

“Struktur plat rata sedemikian adalah untuk memudahkan lengan mekanikal untuk mengambil beban dan memasangnya pada platform ini.

“Dalam pada itu, beban yang sama semuanya mempunyai keperluan arah tertentu, yang boleh memastikan medan cerapan sesuatu beban,” ujar beliau.

Pada cangkerang kabin 'airlock' tersebut, terdapat pintu berdiameter 1 meter, iaitu 150 milimeter lebih lebar daripada kabin sebelumnya.

Ia bukan sahaja lebih mudah bagi angkasawan untuk masuk dan keluar dari sini, tetapi juga boleh membawa peralatan besar keluar dari kabin untuk bekerja, dan keupayaan kerja EVA bertambah baik.