Projek HSR Jakarta-Bandung Capai Kemajuan Baharu
Kumpulan pertama gerabak Unit Gandaan Elektrik (EMU) berkelajuan tinggi dan tren pemeriksaan komprehensif buatan China untuk kegunaan laluan Jakarta-Bandung mula dihantar dari Tanjung Priok, Jakarta ke Bandung melalui lebuh raya pada Jumaat.
Ini menandakan satu lagi kemajuan baharu bagi projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung yang merupakan projek ikonik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) diusahakan bersama China dan Indonesia.
Tren berkenaan yang diangkut dari pelabuhan Qingdao, China tiba di pelabuhan Tanjung Priok pada Khamis lalu, sekali gus menjadi kereta api berkelajuan tinggi buatan China yang pertama dieksport ke luar negara.
Menurut rancangan, baki gerabak EMU akan dihantar dari China ke Indonesia secara berperingkat menjelang awal 2023.
EMU tersebut direka bentuk khusus untuk laluan Jakarta-Bandung, dengan kelajuan operasi maksimum 350 kilometer sejam.
Dibangunkan berdasarkan teknologi EMU ‘Fuxing’, tren itu disesuaikan dengan persekitaran dan keadaan laluan di Indonesia serta memenuhi sepenuhnya keperluan operasi perkhidmatan berkenaan.
Sebagai landasan HSR yang pertama di rantau Asia Tenggara, projek berkenaan dibina dengan mengguna pakai sepenuhnya piawaian China.
Selepas siap seluruhnya, landasan sepanjang 142 kilometer itu akan memendekkan masa perjalanan di antara dua bandar terbabit kepada 40 minit berbanding lebih tiga jam sebelum ini.