Duta China Seru Pastikan Keselamatan Loji Nuklear di Ukraine

2022-09-07 13:38:07  CRI
Share with:

Duta China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengulangi sokongan China terhadap Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan menggesa pihak terbabit supaya memastikan keselamatan fasiliti nuklear di Ukraine.

Timbalan Wakil Tetap China ke PBB, Geng Shuang menyifatkan lawatan Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi dan rakan sekerjanya ke loji tenaga nuklear Zaporizhzhia di Ukraine sebagai amat berjaya.

"Perjalanan itu membantu mendapat pemahaman yang menyeluruh dan objektif mengenai operasi kemudahan berkenaan serta kerosakannya sebelum tindakan bersasar diambil,” kata Geng ketika berucap pada mesyuarat sementara Majlis Keselamatan PBB berhubung situasi loji Zaporizhzhia, di New York pada Selasa.

Minggu lalu, Grossi mengetuai misi pakar seramai 14 orang anggota ke loji kuasa nuklear berkenaan, dan dua daripada mereka kekal berada di sana untuk memastikan keselamatan fasiliti tersebut.

"Kami (China) gembira melihat perkembangan positif itu dan menghargai usaha Ketua Pengarah Grossi dan pakar IAEA.

"Tetapi serangan ke atas loji itu berterusan dan ia tidak berhenti walaupun IAEA telah tiba di kemudahan tersebut. Ia benar-benar membimbangkan," kata beliau.

Geng menyeru kepada pihak terlibat supaya mengelakkan sebarang tindakan yang membahayakan kemudahan nuklear dan jangan melakukan ujian berulang kali di ambang bahaya.

Menurut beliau, sejak tercetusnya krisis Ukraine, dunia diselubungi kebimbangan berikutan ancaman konflik ketenteraan terhadap keselamatan loji kuasa nuklear.

"Demi nyawa tidak terkira banyaknya dan kesejahteraan beberapa generasi, kita perlu melakukan yang terbaik untuk meminimumkan kemungkinan berlakunya kemalangan,” ujar Geng.

Duta itu turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya terus bergiat dalam pendekatan diplomatik ke arah rundingan disambung semula dan gencatan senjata dicapai seawal mungkin.

Beliau mengulangi seruan China agar semua pihak mengamalkan pendekatan yang bertanggungjawab untuk meredakan situasi di Ukraine dan mencari penyelesaian konflik secara damai demi keamanan rantau dan keselamatan global.