Usaha Sama BRI Suntik Tenaga Positif kepada Pemulihan Ekonomi Dunia

2022-09-07 14:26:28  CRI
Share with:

Usaha sama China dan negara Asia Tenggara di bawah rangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) menyuntik tenaga positif kepada pembangunan serantau dan pemulihan ekonomi dunia, kata jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning.

Difahamkan, kumpulan pertama gerabak Unit Gandaan Elektrik (EMU) berkelajuan tinggi dan tren pemeriksaan komprehensif buatan China untuk kegunaan laluan Jakarta-Bandung sudah tiba di Indonesia mutakhir ini.

Mao berkata, projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung merupakan projek kerjasama ikonik China dan Indonesia yang berorientasikan BRI.

"Selepas siap sepenuhnya kelak, ia akan menjadi landasan HSR yang pertama di Indonesia dan juga di rantau Asia Tenggara.

"Fasiliti berkenaan akan menaik taraf kesalinghubungan Indonesia, sekali gus menjana pembangunan sosioekonomi tempatan," katanya dalam sesi taklimat di Beijing, pada Selasa.

Menyentuh mengenai landasan kereta api China-Laos selaku satu lagi projek simbolik BRI, Mao berkata projek itu menjadi pemecut dan enjin baharu bagi kesalinghubungan serta kerjasama ekonomi hingga mendapat sambutan baik daripada negara-negara serantau.

Menurutnya, jumlah penumpang kereta api itu merekodkan 6.71 juta orang sejak perkhidmatan berkenaan beroperasi sembilan bulan lalu.  

Dalam tempoh sama, sebanyak 7.17 juta tan kargo diangkut melalui landasan itu dan 1.28 juta tan daripadanya adalah secara rentas sempadan, dengan nilai keseluruhan mencecah RMB10 bilion (RM6.45 bilion).

Mao menyifatkan kedua-dua projek tersebut memperlihatkan sinergi China dan negara Asia Tenggara ke arah situasi sama menang menerusi kolaborasi lebih rapat. 

Beliau turut meluahkan kesediaan China untuk bersama semua pihak menggalakkan perkembangan kerjasama BRI secara berkualiti tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih kukuh.