Wang Yi: Bina Hubungan China-Jepun Selaras Perkembangan Arus Zaman

2022-09-13 13:03:53  CRI
Share with:

China dan Jepun harus meneliti aspirasi asal dan menimba pengalaman dari sejarah bagi membina hubungan China-Jepun yang selaras dengan perkembangan zaman baharu, kata Menteri Luar China, Wang Yi pada Isnin.

Dalam ucapannya menerusi pautan video pada majlis perasmian seminar berhubung ulang tahun ke-50 pemulihan hubungan China-Jepun,  Wang yang juga ahli Dewan Negara China berkata bahawa China dan Jepun harus menjanjikan dan mengekalkan asas politik hubungan China-Jepun.

"Untuk memastikan perkembangan hubungan dua hala yang mantap dan stabil, empat dokumen politik yang tercapai antara kedua-dua negara mesti dipatuhi dan komitmen yang telah dibuat setakat ini harus dihormati," kata Wang sambil menegaskan bahawa ungkapan yang kabur maknanya dan pengunduran patut dielakkan kedua-dua pihak dalam menangani isu utama yang berprinsip yang melibatkan sejarah silam dan Taiwan.

"Konsensus politik berhubung 'kedua-dua pihak merupakan rakan kerjasama dan tidak mencetuskan ancaman antara satu sama lain' harus dijadikan cerminan dasar kedua-dua negara dan dilaksanakan secara  bersungguh-sungguh bagi memastikan perkembangan hubungan bilateral pada landasan yang betul.

“Kedua-dua pihak harus memupuk kesedaran perkongsian yang kukuh, menegakkan perspektif global dan mengekalkan rantaian perindustrian dan bekalan global yang stabil dan lancar serta persekitaran perdagangan dan pelaburan yang adil dan terbuka,” kata Wang.

Beliau menambah, pertukaran di kalangan rakyat antara China dan Jepun mempunyai sejarah yang lama dan kedua-dua pihak perlu mengelakkan tindakan yang menjajakan nilai-nilai sendiri secara paksa.

“Kedua-dua negara dikehendaki mengikuti arus perkembangan semasa dan mengamalkan multilateralisme sebenar, bersama-sama menggalakkan kestabilan dan pembangunan bersepadu serantau," kata Wang.

Menteri Luar Jepun Yoshimasa Hayashi pula dalam ucapannya menerusi pautan video mencadangkan kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada tempoh 50 tahun yang akan datang dan bekerjasama untuk membina hubungan Jepun-China yang bersifat membina dan stabil.