China, Kazakhstan Komited Eratkan Hubungan Bilateral

2022-09-15 14:51:29  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping tiba di Nur-Sultan petang Rabu untuk memulakan lawatan rasmi ke Republik Kazakhstan. 

Presiden Xi  dengan rakan sejawatnya dari Kazakhstan  Kassym-Jomart Tokayev mengadakan rundingan pada hari yang sama.

Xi menyatakan bahawa China sangat menghargai hubungan dengan Kazakhstan, dan tegas menyokong Kazakhstan dalam memelihara kemerdekaan negara, kedaulatan dan integriti wilayah, serta menyokong pihak Kazakhstan mengamalkan pembaharuan bagi mengekalkan kestabilan dan pembangunan negara.

“Kedua-dua negara perlu bekerjasama bagi mendorong pembinaan yang berkualiti tinggi dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), memperkasa kerjasama dalam bidang yang melibatkan ekonomi dan perdagangan, kapasiti industri, kesalinghubungan dan usaha membendung pandemik COVID-19, selain meningkatkan kerjasama inovasi dalam bidang data raya, kecerdasan buatan, kewangan digital, e-dagang rentas sempadan serta penggunaan tenaga dan pembinaan infrastruktur mesra alam.

"Selain itu, kedua-dua pihak perlu menjalin hubungan yang lebih rapat dalam kalangan rakyat  bagi menggalakkan pertukaran muhibah dan peningkatan persefahaman,” kata Xi.

XI menegaskan bahawa China menyokong negara-negara Asia Tengah dalam melindungi keselamatan politik dan kestabilan sosial serta menyokong negara-negara terbabit meningkatkan kerjasama integrasi.

“China bersedia mengekalkan komunikasi yang rapat dengan Kazakhstan untuk mengendalikan pelbagai masalah  dan cabaran baharu,  menolak campur tangan kuasa luar dalam hal ehwal negara-negara Asia Tengah, dan bersama-sama menjaga kestabilan dan keselamatan yang berkekalan di rantau ini,” kata Xi.

Xi mencadangkan agar kedua-dua pihak meningkatkan kerjasama dalam mekanisme pelbagai hala yang melibatkan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), Persidangan mengenai Interaksi dan Langkah Membina Keyakinan di Asia (CICA) dan  ‘China+ Lima Negara Asia Tengah’,  di samping menyokong usaha SCO menjayakan sidang kemuncak di Samarkan bagi menyuntik momentum  baharu ke dalam pembangunan pertubuhan ini pada masa depan.

“Kedua -dua pihak perlu meningkatkan koordinasi antarabangsa, mengamalkan multilateralisme yang sebenar bagi menyumbang kepada pembinaan sistem tadbir urus global yang lebih adil dan saksama,” kata beliau.

Tokayev pula berkata bahawa Presiden Xi memilih Kazakhstan sebagai negara pertama dalam lawatan beliau ke luar negara sejak tercetusnya pandemik COVID-19,  dan bersempena dengan ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik China-Kazakhstan. Ini  mencerminkan kepercayaan antara kedua-dua negara dan perkongsian strategik komprehensif Kazakhstan-China yang bertahap tinggi.

Tokayev turut menzahirkan terima kasih kepada China atas sokongan yang berharga kepada Kazakhstan dalam usaha melawan pandemik dan pembangunan ekonomi negaranya.

“Kazakhstan berharap dapat  menyelaraskan pelaksanaan strategi pembangunan dengan China, meningkatkan pertukaran dalam pelbagai peringkat, serta memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan perdagangan, infrastruktur, tenaga, pembuatan, sains dan teknologi, pelancongan dan sosiobudaya.

Pemimpin kedua-dua negara juga menandatangani dan mengeluarkan kenyataan bersama berhubung ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik China dan Kazakhstan yang komited kedua-dua negara akan berusaha bersama untuk merealisasikan matlamat dan visi  membina persahabatan yang berkekalan, mewujudkan kepercayaan yang bertahap tinggi dan membentuk komuniti berkongsi nasib.