China, Uzbekistan Sepakat Perluas Kerjasama, Perkukuh Persahabatan

2022-09-15 21:02:02  CRI
Share with:

China dan Uzbekistan berikrar untuk memperdalam kerjasama saling menguntungkan, mempertingkat jalinan persahabatan dan menterjemahkan visi komuniti berkongsi nasib melalui tindakan membabitkan dua hala.

Demikian antara hasil pertemuan empat mata antara Presiden China Xi Jinping dengan rakan sejawatnya dari Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev di Samarkand, petang tadi.

Semasa berlangsungnya pertemuan, Xi menekankan perlunya dua negara itu untuk sokong-menyokong ketika mengurus isu kepentingan teras membabitkan kedaulatan negara, kemerdekaan dan keutuhan wilayah.  

Beliau berkata, kedua-dua negara perlu mempergiat penyelarasan strategi pembangunan dan memajukan kerjasama ke arah membuahkan lebih banyak hasil.

Menyentuh kerjasama dua hala yang bakal diperkukuh, Xi menyatakan, selain pelaburan ekonomi dan perdagangan, China dan Uzbekistan boleh meneroka peluang kerjasama baharu dalam sektor tenaga alternatif, dan menggerakkan pelaksanaan program pertukaran sosiobudaya membabitkan pendidikan, pelancongan, kaji purba dan lain-lain.

Selain itu, China bersedia meneruskan kolaborasi dengan Uzbekistan dalam bidang perubatan, vaksin dan farmaseutikal, di samping menyokong pembinaan pusat pengeluaran vaksin di negara itu.

Xi turut menyatakan, China akan bersinergi dengan Uzbekistan dalam membasmi kemiskinan, dan saling belajar dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, China sedia meningkatkan kolaborasi dengan Uzbekistan, menolak sebarang campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman, dan komited mempertahankan kestabilan negara masing-masing serta kepentingan keselamatan serantau.

Dalam pada itu, Mirziyoyev mengulangi pendirian bahawa pihaknya menyokong prinsip satu China, dan berdiri teguh di sisi China dalam isu membabitkan Taiwan dan Xinjiang.

Beliau turut menyuarakan sokongan padu kepada Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global yang disaran Presiden Xi.

Presiden Xi juga menerima pingat persahabatan yang dianugerahkan Presiden Mirziyoyev di Pusat Konvensyen Antarabangsa Samarkand.