Mimpi Ngeri Hantui Masyarakat AS

2022-09-15 15:48:08  CRI
Share with:

Rentetan insiden tembakan berlaku di beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) antaranya Illinois, Kentucky, Indiana, Pennsylvania dan New York, pada hujung minggu lalu.

Menurut laman sesawang 'Arkib Keganasan Senjata' AS, sejak awal tahun ini, lebih 31,000 orang diragut nyawa akibat keganasan membabitkan penggunaan senjata api di negara itu, bersamaan 122 orang terbunuh setiap hari.

Ia umpama mimpi ngeri yang berlegar-legar dalam masyarakat AS. Antaranya, kampus sekolah adalah yang paling teruk dihantui masalah itu.

Menurut kajian terkini Universiti Michigan, 75 peratus remaja di AS menganggap kejadian tembakan menjadi punca tekanan utama yang mengganggu mental mereka.

Di AS, pembuatan dan penjualan senjata api adalah industri besar, dengan skop pasarannya mencecah USD70.5 bilion (RM319.43 bilion) pada tahun lepas.

Selain menawarkan sumbangan politik setiap tahun, Persatuan Senapang Kebangsaan (NRA) negara itu juga memperuntukkan dana berjumlah besar untuk mempropagandakan peri penting pemilikan senjata api bagi menghalang pelaksanaan langkah kawalan senjata oleh kerajaan.

Tidak dapat dibayangkan bahawa jualan senjata api tidak berkurang sebaliknya merekodkan lonjakan, setiap kali berlakunya tembakan besar-besaran di AS, hingga menjerumuskan masyarakat ke dalam lingkaran ganas.

Pada Jun, Presiden Joe Biden menandatangani rang undang-undang (RUU) kawalan senjata 'edisi kompromi dwipartisan', namun ia tidak berguna sama sekali.

Statistik berkenaan menunjukkan, lebih 70 kes tembakan besar-besaran dilaporkan di serata negara itu pada Julai, sebulan setelah RUU tersebut berkuat kuasa.

Rencana terbitan akhbar The New York Times mengulas bahawa insiden tembakan dilihat semakin biasa di AS, menyebabkan hampir semua orang hidup dalam ketakutan.

Di sebalik komen itu, kelihatan kumpulan berkepentingan AS mengaut kekayaan secara berterusan daripada pembuatan dan penjualan senjata api, sementara si politikus mengikis sumbangan politik besar.

Terbelenggu 'demokrasi ala AS', adalah sukar untuk negara itu bebas daripada mimpi ngeri yang dibawakan masalah senjata api.