Han Zheng Hadir Majlis Pembukaan CAEXPO Ke-19
Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) edisi ke-19 membuka tirai di Nanning, wilayah Guangxi pada Jumaat.
Naib Perdana Menteri Han Zheng menghadiri dan menyampaikan ucaptama dalam upacara perasmian.
Han berkata, saranan Presiden China Xi Jinping untuk berganding bahu membina kampung halaman yang aman, makmur, indah dan bersahabat telah merangka cetak biru baharu mengenai pemerkasaan kerjasama China-ASEAN.
Beliau turut mengemukakan lima cadangan ke arah membentuk komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih rapat, antaranya termasuk memperkasa penyelarasan strategi, mempertingkat taraf kerjasama perdagangan, mendorong kesalinghubungan infrastruktur, memperluas kerjasama pembangunan hijau, serta merancakkan pertukaran dan interaksi dalam kalangan rakyat.
Menurut beliau, kedua-dua pihak hendaklah melaksanakan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) secara berkualiti tinggi, dan bersama membina Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0.
“Pelaksanaan RCEP sedang menjana potensi pasaran besar yang bersepadu dan menyuntik dorongan kuat kepada kerjasama China-ASEAN.
"Syarikat pelbagai negara diharap meneroka lebih banyak peluang perniagaan, meraih limpahan hasil kerjasama, dan membuat sumbangan lebih besar kepada pembangunan China dan rantau ini,” katanya ketika melawat dewan pameran CAEXPO.