Xi Sampai Ucaptama pada Sidang Kemuncak SCO

2022-09-16 23:13:54  CRI
Share with:


Presiden Xi Jinping menghadiri dan menyampaikan ucaptama dalam mesyuarat ke-22 Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Samarkand, Uzbekistan hari ini.

Dalam ucaptamanya yang bertajuk ‘Pegang Arus Sezaman, Perkasa Perpaduan dan Kerjasama, Cipta Masa Depan Lebih Indah’, beliau berkata tahun ini merupakan ulang tahun ke-20 penandatanganan Piagam SCO dan ulang tahun ke-15 pemeteraian perjanjian persahabatan dan kerjasama kejiranan jangka panjang antara negara anggota.  

Berpandukan dua dokumen tersebut, SCO berjaya meneroka jalan pembangunan pertubuhan antarabangsa model baharu dan mengumpul pengalaman penting yang dapat diinspirasikan termasuk mengekalkan kesalingpercayaan politik, kerjasama saling untung, layanan sama rata, keterbukaan dan keterangkuman serta keadilan.

Pengalaman itu sekali gus memperlihatkan ‘semangat Shanghai’ yang menjunjung rasa saling percaya, saling menguntungkan, kesamarataan, permuafakatan, dan menghormati kepelbagaian tamadun serta mengejar pembangunan bersama.

Beliau menegaskan bahawa dalam situasi baharu, SCO selaku tenaga penting bersifat konstruktif dalam urusan antarabangsa dan serantau, perlu mendepani perubahan situasi antarabangsa dengan berani dan memegang teguh arus sezaman, terus memperkasa solidariti dan kolaborasi, sekali gus mendorong pembentukan komuniti berkongsi nasib SCO yang lebih rapat.  

Beliau juga menyarankan negara anggota SCO supaya meningkatkan sokongan antara satu sama lain, memperluas kerjasama keselamatan, memperdalam kerjasama pragmatik, mengintensifkan pertukaran sosiobudaya, di samping mengekalkan multilateralisme.

Menurutnya, China bersedia memberi latihan kepada 2,000 orang penguat kuasa undang-undang untuk negara anggota SCO dalam tempoh lima tahun akan datang, selain menubuhkan pangkalan latihan tenaga profesional antikeganasan China-SCO.

Di samping itu, beliau juga menzahirkan kesediaan China untuk bersama pihak-pihak terbabit mendorong pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global di kawasan serantau bagi memacu pembangunan lestari pelbagai negara. 

Kata beliau, China akan menyediakan bantuan kemanusiaan kecemasan bernilai RMB1.5 bilion (kira-kira RM972 juta) yang melibatkan bahan makanan kepada negara membangun.  

Tegas beliau, kedamaian dan pembangunan benua Eurasia merupakan aspirasi bersama serantau bahkan seluruh dunia. Ia juga tanggungjawab penting yang digalas SCO.

Usaha memperluas keanggotaan SCO dan memainkan peranan positif pertubuhan itu bakal menyuntik tenaga positif kepada kedamaian berkekalan dan kemakmuran bersama benua Eurasia dan dunia. China menyokong usaha itu dilakukan dengan mantap dan baik.

Tambah beliau, ekonomi China berdaya tahan dan berpotensi besar, di samping mengekalkan trend perkembangan yang baik dalam jangka panjang. Hal ini akan memberi momentum kuat kepada pemulihan ekonomi dunia dan menyediakan peluang pasaran yang luas kepada pelbagai negara.

Mesyuarat itu telah mengeluarkan siri kenyataan dan dokumen berkaitan usaha memelihara keselamatan makanan dan tenaga antarabangsa, menangani perubahan iklim dan menjamin kestabilan dan kepelbagaian rantaian bekalan, di samping menandatangani memorandum berhubung kewajipan Iran dalam menganggotai SCO dan melancarkan prosedur menerima Belarus sebagai negara anggota.