Ekonomi China Kekal Momentum Pemulihan Kukuh

2022-09-17 16:19:01  CRI
Share with:

Ekonomi China mengekalkan momentum pemulihan kukuh pada Ogos, dengan pelbagai penunjuk utama terus meningkat secara keseluruhannya.

Antaranya, jumlah penghasilan kereta menokok 39 peratus manakala nilai tambah industri automobil naik lebih 30 peratus, menurut data terkini Biro Statistik Negara (NBS).

Media asing turut menyifatkan prestasi ekonomi China itu sebagai lebih baik daripada jangkaan.

Data NBS menunjukkan, jumlah jualan runcit barang pengguna dan nilai tambah industri berskala besar masing-masing meningkat 5.4 peratus dan 4.2 peratus pada Ogos.

Sementara itu, Pelaburan dalam aset tetap (IEC) bagi Januari hingga Ogos bertambah 5.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut laporan kajian Bank Dunia (WB), ekonomi dunia kemungkinan terjerumus ke dalam kemelesetan pada 2023, memandangkan bank pusat pelbagai negara secara serentak menaikkan kadar faedah untuk mengatasi masalah inflasi.

Di tengah-tengah suasana pesimisme sedemikian, usaha konsisten dan pencapaian cemerlang China bukan hanya memacu pertumbuhan ekonomi sendiri, malah membangkitkan keyakinan dunia dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi global.

Laporan NBS menunjukkan bahawa China menyumbang lebih 30 peratus kepada pertumbuhan ekonomi dunia secara purata pada 2013 hingga 2021, menduduki tempat pertama di dunia.

Selain itu, pasaran pekerjaan China kekal mantap pada keseluruhannya. Perbelanjaan penduduk dijangka beransur pulih berkat pelaksanaan langkah kawalan COVID-19 secara bersasar, serta inisiatif menggalakkan masyarakat berbelanja.

Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi kelima yang bakal diadakan pada November diyakini akan menawarkan lebih banyak peluang kepada dunia untuk menembusi pasaran China.