Kerjasama AUKUS Songsong Arus Zaman

2022-09-18 15:31:17  CRI
Share with:

Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), pada Khamis, mengadakan perbincangan mengenai isu kerjasama kapal selam berkuasa nuklear antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang dinamakan AUKUS.

Ini adalah kali keempat negara anggota sebulat suara bersetuju untuk membahaskan isu tersebut secara khusus sebagai agenda rasmi dalam mesyuarat Lembaga Gabenor IAEA. Ia menggagalkan komplotan pakatan AUKUS mahukan kerjasama mereka dimuktamadkan menggunakan modus operandi yang mengejikan.

Semasa mesyuarat itu, China memperincikan masalah utama yang wujud dalam kerjasama AUKUS, dan membawakan bukti kukuh mengenai perbuatan berbahaya tiga negara yang berisiko menyebabkan berlakunya percambahan nuklear ke hadapan khalayak.

Pada hari yang sama setahun lalu, Australia, UK dan AS enggan ambil peduli dengan kata-kata tentangan dunia, nekad membentuk kumpulan kecil ‘AUKUS’ dengan tujuan membantu Australia membangunkan sekurang-kurang lapan kapal selam berkuasa nuklear.

Untuk itu, Australia merobek perjanjian yang pernah disepakati dengan Perancis mengenai pembelian 12 kapal selam berkuasa konvensional bernilai $90 bilion dolar Australia (RM274.3 bilion). Perbuatan negara itu turut dikecam sebagai pengkhianatan dan pembohongan.

Sepanjang tahun lalu, kerjasama AUKUS mengundang kecaman dan kritikan pedas daripada masyarakat antarabangsa. Ramai penganalisis berkata, pemindahan bahan senjata nuklear yang terlibat dalam kerjasama tiga negara pada asasnya adalah percambahan nuklear, dan ia menimbulkan ancaman besar kepada keselamatan global.

Australia, UK dan AS, negera pemeterai Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), sepatutnya menunaikan kewajipan masing-masing, dan kerjasama kapal selam mesti mendapat keizinan negara anggota IAEA.

Namun, ketiga-tiga negara tersebut memilih untuk memejamkan mata dan memekakkan telinga terhadap kecaman dan tentangan daripada masyarakat antarabangsa, sebaliknya bergerak lebih agresif dalam melaksanakan program kerjasama mereka dengan apa jua tipu helah.

Demi mengelirukan khalayak ramai, mereka menyalahgunakan konsep untuk meringankan rasa bersalah akibat tindakan percambahan nuklear.

AUKUS juga mengugut sekretariat IAEA dan ketua pengarah agensi berkenaan untuk mewajarkan kerjasama kapal selam nuklear.

Dunia ketika ini mengalami pergolakan dengan risiko percambahan nuklear semakin meningkat. Pemeliharaan keselamatan nuklear merupakan tanggungjawab bersama semua negara. Pakatan AUKUS bertindak umpama menyongsong arus zaman dengan niat mengulangi mainan basi di Asia Pasifik. Masyarakat antarabangsa takkan berdiam diri dan hanya duduk menyaksikan ia berlaku.