CAEXPO Tambah Momentum dan Peluang Baharu demi Pemulihan Pasca Pandemik

2022-09-20 12:07:25  CRI
Share with:

Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-19 yang diadakan di Nanning, wilayah Guangxi mutakhir ini telah menjadi platform penting bagi mempergiat kerjasama antara China dengan negara-negara ASEAN dan integrasi ekonomi serantau.

Ia juga dipercayai akan menyumbang momentum dan peluang baharu bagi memangkin pemulihan pasca pandemik dan pembinaan ekonomi serantau yang lebih terbuka.

Demikian ujuar jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning ketika diminta mengulas CAEXPO dalam sidang akhbar di Beijing pada Isnin.

Beliau berkata, tahun ini ialah tahun pertama penjalinan Perkongsian Strategik Komprehensif China-ASEAN dan penguatkuasaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). CAEXPO edisi tahun ini bertemakan "Berkongsi Peluang Baharu RCEP dan Mendorong Pembinaan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) Versi 3.0".

Sempena CAEXPO tahun ini, sebanyak lebih 40 sesi promosi pelaburan diadakan dengan penglibatan 1,653 syarikat. Di samping itu, sebanyak lebih 2,000 syarikat mengambil bahagian dalam CAEXPO secara maya.

Pada masa sama, sebanyak 267 projek kerjasama ditandatangani, dengan jumlah pelaburan sebanyak RMB413 bilion (RM268 bilion), menyaksikan peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding tahun lalu, sekali gus mencipta rekod tertinggi dalam sejarah ekspo berkenaan.