Bina Keamanan Berkekalan di Asia Barat: China

2022-09-22 12:22:22  CRI
Share with:

Inisiatif Keselamatan Global anjuran China amat bermakna bagi mendorong keamanan di rantau Asia Barat. China bersedia mengambil peluang daripada pelaksanaan inisiatif tersebut, bekerjasama dengan negara-negara di Asia Barat dan dunia untuk membina rangka keselamatan Asia Barat yang baharu.

Ahli Dewan Negara merangkap Menteri Luar China, Wang Yi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan video pada majlis perasmian Forum Keselamatan Asia Barat ke-2, pada Rabu.

Untuk itu, beliau mencadangkan negara-negara Asia Barat supaya mengekalkan konsep keselamatan baharu yang bersama, komprehensif, kolaborasi dan mampan, mengutamakan peranan negara-negara Asia Barat, mempertahankan maruah dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta meningkatkan dialog keselamatan serantau.

Wang Yi menekankan bahawa Presiden China, Xi Jinping mengemukakan Inisiatif Keselamatan Global pada April lalu, yang menjelaskan kaedah bagi mewujudkan keselamatan bersama. Ia juga amat penting bagi menggalakkan keamanan dan kestabilan di rantau Asia Barat.

Menurut beliau, sebagai rakan strategik negara-negara Asia Barat, China sentiasa berusaha untuk menggalakkan keamanan dan menyokong pembangunan di Asia Barat. China komited terus bekerjasama dengan negara-negara Asia Barat dan masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan yang berkekalan di rautau itu.

Forum Keselamatan Asia Barat kedua yang bertemakan "Dorong Pembinaan Rangka Keselamatan Asia Barat Baharu dan Realisasikan Keselamatan Serantau Bersama" diadakan di Beijing secara hibrid pada 21 September.