China Seru Laksanakan Inisiatif Pembangunan Global, Pastikan Setiap Individu Nikmati Hak Asasi

2022-09-22 14:59:44  CRI
Share with:

Masyarakat antarabangsa diseru melaksanakan Inisiatif Pembangunan Global, memastikan setiap individu menikmati hak asasi manusia yang meluas, penuh, dan berkesan, mempergiat kerjasama sejagat untuk melaksanakan Agenda 2030, dan bersama-sama membina komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Seruan itu diluahkan oleh Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, duta Chen Xu ketika menyampaikan ucapan dalam sesi perbahasan umum ke-51 Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) pada Rabu.

Beliau menyatakan bahawa ketidaksamarataan adalah cabaran besar bagi masyarakat antarabangsa, dan ia menjadi lebih meruncing semasa penularan pandemik COVID-19. Negara-negara membangun mengalami tempias teruk dalam bidang ekonomi, sosial dan kehidupan rakyat, khususnya golongan paling miskin dan lemah.

Oleh itu, menurut Chen, negara-negara di dunia perlu mengambil kira keadaan dan permintaan golongan tersebut dalam tindakan melawan wabak dan memulihkan ekonomi, di samping mengambil langkah yang berkesan untuk memastikan setiap individu menikmati hak pendidikan, perubatan, kediaman, pekerjaan dan lain-lain.

Chen mengatakan, pembangunan merupakan asas bagi jaminan hak asasi manusia. Inisiatif Pembangunan Global yang dianjurkan oleh Presiden China, Xi Jinping merupakan produk awam negara ini untuk mendorong pembangunan hak asasi manusia dunia. Inisiatif tersebut telah mendapat sokongan daripada lebih 100 negara.

China bersedia bersama-sama pelbagai negara menjadikan pembangunan sebagai keutamaan, dan mempergiat pelaksanaan inisiatif tersebut demi manfaat seluruh umat manusia.