China Penyumbang kepada Pembangunan Global

2022-09-26 12:17:57  CRI
Share with:

Pembangunan pesat China mampu terus memberi dorongan kepada pertumbuhan ekonomi global dan mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada rakyat seluruh dunia.

Demikian ujar ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar Wang Yi ketika menyampaikan ucapan pada Debat Umum sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, di New York pada Sabtu.

Beliau berkata, China kekal sebagai antara penyumbang utama kepada pembangunan dunia, dengan usaha yang terus dipergiatkan bagi mewujudkan landskap keterbukaan bertaraf tinggi dan menjaga keselamatan dan kestabilan rantai perindustrian dan bekalan global.

“Kami (China) menjadi rakan dagang utama kepada lebih 130 negara dan wilayah, dan menyumbang kira-kira 30 peratus kepada pertumbuhan ekonomi di peringkat global pada setiap tahun,” katanya.

Wang menambah, China memantapkan pelaksanaan Agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030 bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan berjaya mencapai sasaran mengurangkan kemiskinan sepuluh tahun lebih awal daripada jadual ditetapkan.

Prestasi itu signifikan dalam pembasmian kemiskinan global, dengan kadar sumbangan sebanyak 70 peratus.

Mengenai keterlibatan China dalam tadbir urus global, Menteri Luar itu menyatakan bahawa China mendirikan Dana Amanah Keamanan dan Pembangunan China-PBB dan Dana Pembangunan Global dan Kerjasama Selatan-Selatan.

“Kami menyalurkan bantuan pembangunan kepada lebih 160 negara yang memerlukan, dan merupakan anggota Kumpulan 20 (G20) yang menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman dengan amaun paling banyak kepada peminjam negara membangun,” kata beliau.

Wang turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya membentuk komuniti pembangunan global, sepertimana yang disyorkan Presiden Xi Jinping dengan konsep berpaksikan rakyat.

“Tidak lama dulu, semasa berlangsungnya Dialog Peringkat Tinggi mengenai Pembangunan Global, Presiden Xi mengumumkan lebih sepuluh langkah praktikal untuk memantapkan pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global.

“Ia bakal menyuntik momentum positif terhadap usaha memacu kemajuan dalam pelaksanaan SDG,” ujar Wang.