China Gesa Masyarakat Antarabangsa Fokus Isu Pembangunan Sosial

2022-09-30 14:29:35  CRI
Share with:

China menyeru masyarakat antarabangsa supaya mengukuhkan lagi perpaduan dan kerjasama bagi mengatasi masalah pembangunan.

Demikian kata Timbalan Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dai Bing semasa berucap pada sesi Debat Umum mengenai isu pembangunan sosial Jawatankuasa Ketiga Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77, di sini pada Khamis.

Dai berkata pembangunan adalah tunjang keamanan dan kestabilan, serta merupakan kunci bagi merungkaikan segala masalah membabitkan sosioekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat.

“Pemulihan ekonomi global pada ketika ini terbantut dek pandemik yang masih berlarutan, konflik serantau belum reda, ditambah pula krisis bekalan makanan dan tenaga yang memburukkan lagi situasi semasa.

“Diakui bahawa cabaran getir bakal dihadapi negara-negara apabila bergerak menuju ke arah merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan PBB untuk dicapai menjelang 2030.

“Untuk itu, perlunya diperkasakan kerjasama antara satu sama lain, dan perhatian difokuskan pada isu-isu pembangunan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan multilateralisme sebagai asas kepada tatanan antarabangsa.

“Didepani masalah kekurangan sumber pembangunan di peringkat global, semua negara harus mematuhi prinsip berunding bersama, membangun bersama dan berkongsi, selain saling melengkapi dan membantu antara satu sama lain,” kata Dai.

Dalam pada itu, beliau menggesa negara maju supaya menggalas tanggungjawab dan menyalurkan lebih banyak sumber pembangunan kepada negara membangun untuk meningkatkan kemampuan negara berkenaan dalam pembangunan mandiri.